Mengagendakan Keluarga Muslim dan Ummah Islamiyyah.

Allah swt berfirman

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُون (Surah At Tahrim, ayat 6)

“…Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan…”

 

Anak dan isteri merupakan anugerah Allah swt yang amat bernilai kepada setiap insan khasnya kepada orang yang beriman.

 

Bahkan mereka juga adalah amanah dan tanggungjawab yang diletakkan oleh Allah azzawajalla kepada setiap ketua keluarga iaitu suami mahupun ayah. Selain anak dan isteri sebagai penyejuk hati dan penyeri kehidupan, namun jangan dilupakan bahawa mereka juga mungkin menjadi fitnah dan ujian yang boleh mengheret seseorang suami atau ayah kepada kemurkaan Allah swt dan nerakaNya.

 

Oleh kerana itu, Allah swt memerintahkan agar setiap orang beriman memastikan tanggungjawab ini tidak diabaikan

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Maksudnya..

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. (. Firman Allah swt, surah Al Kahfi 46)

 

Berkata Saidina Ali r.a

. قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Itu bermakna “..mendidik dan mengajar..”

 

Berkata Ibnu Abbas bahawa ayat ini bermaksud “…mengingatkan mereka agar mentaati Allah dan jauhi mereka daripada maksiat kepadaNya, menyuruh mereka agar sentiasa mengingati Allah supaya mereka terselamat daripada api neraka..”

 

Berkata Qatadah, memelihara keluarga daripada api neraka dengan cara, “…memerintahkan mereka supaya mentaati Allah dan melarang mereka daripada melakukan maksiat kepadaNya, agar mereka melaksanakan suruhan Allah dan membantu mereka dalam usaha ke arah itu. Jika terlihat mereka melakukan maksiat maka hendaklah ancam mereka dengan kemurkaan Allah dan halangilah perbuatan itu.

 

Salah satu hadis bagi menjelaskan ayat ini adalah,

عبدالملك بن الربيع بن سبرة عن أبيه عن جده قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم “مروا الصبي بالصلاة إذا بلغ سبع سنين فإذا بلغ عشر سنين فاضربوه عليها”

Maksudnya, “..perintahlah kanak-kanak mendirikan solat jika berumur 7 tahun dan apabila berumur 10 tahun, pukullah dia dan usaha mendidiknya dalam mendirikan solat…”

 

Sesuai dengan itu, kepada ketua keluarga khususnya suami dan ayah yang seharusnya berperanan untuk membentuk dan mendidik keluarga dibawahnya agar mentaati Allah swt seperti memerintahkan anak-anaknya berpuasa sebagai latihan kepada mereka untuk melaksanakan perintah Allah azzawajalla.

 

Ingatlah janji Allah swt bahawa azabnya amatlah pedih dan berat, bahan bakar nerakaNya ada manusia dan batu bata.

 

FirmanNya,

وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ

Seorang sahabat bertanya Nabi saw tentang batu yang menjadi bahan nyalaan neraka adakah ia sama seperti di dunia? Jawab Baginda saw, “…sebiji kelikir dalam neraka lebih besar dari segala gunung – ganang di atas dunia…”

 

Diriwayatkan bahawa Nabi saw menitik beratkan amalan isteri dan anak-anak Baginda s.a.w agar mereka turut beramal soleh dan berusaha membenteng diri mereka masing-masing daripada api neraka.Ketua keluarga perlu mengambil inisiatif untuk membentuk ciri-ciri keluarga yang diredhai Allah swt iaitu keluarga yang beriman kepada Allah sekaligus keluarga yang mentaati Allah.

 

Anak-anak dan isteri hendaklah diperintahkan serta digalakkan mereka mengerjakan solat dan menutup aurat mereka. Disamping dengan keberadaan bulan Muharram ini, masjid dan surau pastinya menganjurkan pelbagai aktiviti dan program seperti kuliah dan tazkirah, maka inilah peluang ayah dan suami boleh menyalurkan input agama dan kesedaran kepada jiwa anak dan isteri tanggungannya.Inilah ciri-ciri keluarga Muslim yang diidamkan oleh semua orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

 

Tidaklah berhenti setakat itu, anak dan isteri yang terbiasa dengan ibadah dan ketaatan juga nanti mereka juga turut bersama keterlibatan mereka dalam agenda dakwah dan perjuangan Islam.

 

Bukankah dengan sumbangan dan keterlibatan dalam perjuangan dan dakwah Islam itu juga dijanjikan Allah swt dengan galang ganti pembebasan daripada azab neraka Allah swt.?

 

FirmanNya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?( Surah As Soff, ayat 10-11)

 

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

 

Malang sekali dilihat, adakalanya sesetengah ketua keluarga suami mahupun ayah yang rajin berulang alik ke masjid dan surau serta berada di tengah-tengah medan perjuangan dan dakwah Islam tetapi isteri dan anak mereka jauhi dari bimbingan Islam bahkan penentang kepada Islam dan perjuangan.

 

Ini adalah berpunca daripada sebahagiannya mengabaikan tanggungjawab agama dan didikan asuhan Islam daripada awal dan dari dalam rumah tangga.

 

Sedarilah bahawa azab neraka Allah tidak memilih siapakan penghuninya, anak siapa mahupun isteri siapa? Jikalau mereka mengingkari Allah dan menentang laranganNya, neraka jualah tempatnya. Lihatlah dalam al Quran mengisahkan Nabi Nuh a.s dan anaknya

 

وَنَادَىٰ نُوحٌ رَبَّهُ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ابْنِي مِنْ أَهْلِي وَإِنَّ وَعْدَكَ الْحَقُّ وَأَنْتَ أَحْكَمُ الْحَاكِمِين

Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya”” (Surah Hud ayat 45-46)

 

قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ ۖ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ ۖ فَلَا تَسْأَلْنِ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۖ إِنِّي أَعِظُكَ أَنْ تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

Allah berfirman: “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil”.

 

Ayuh dan marilah jadikan Muharram ini bulan titik tolak kepada kehidupan keluarga yang diredhai Allah, keluarga Muslim sejati, keluarga yang diagendakan kepada perjuangan Islam hingga tertegaknya Ummah Islamiyyah.

 

Catatan :

AlFaqir Ila Robbihi

8 Muharram 1437h bersamaan 21 Oktober 2015

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*