Peliharalah Mandat Rakyat

Satu ketika dahulu, bumi Selangor ini kemas dikuasai oleh Barisan Nasional dengan Umno sebagai tunjangnya. Ratib biasa yang didengarkan adalah, letak tunggul kayu sekalipun sebagai calon, pasti BN akan menang di Selangor. Begitu kuat dan kukuh sekali kedudukan BN di negeri bertuah ini tatkala itu. Tetapi itu tujuh tahun dahulu.

Segala-galanya telah berubah hari ini. Sejak 8 Mac 2008 yang lalu tampuk pemerintahan Selangor telah berubah tangan. Jika 50 tahun lebih Selangor dikuasai oleh Umno samada melalui Perikatan mahupun BN, pada tanggal itu takhta Umno roboh dan Selangor telah menyaksikan dengan mandat rakyat kemasukkan suatu kuasa politik yang baru.

 

Sesungguhnya rakyat Selangor telah bosan dan mual dengan Umno dan BN. Berbagai kemungkaran politik, rasuah dan salah-guna kuasa dikesan berlaku di hadapan mata kepala rakyatnya.

 

Rakyat bersabar dari satu pilihanraya ke satu pilihanraya. Dengan harapan barangkali Umno dan BN boleh sedar dan berubah. Rupanya ini tidak berlaku. Saban tahun ianya semakin kronik dan kerajaan di bawah MB terakhir Umno iaitu Khir Toyo membuktikan memang rintihan dan keresahan rakyat langsung tidak mahu dipedulikan.

 

Akhirnya kesabaran rakyat tidak dapat dibendung lagi. Dan pada Pilihanraya 2008 itu, rakyat bangkit dan kesannya tanpa diduga para penganalisa politik ataupun oleh Umno dan BN sendiri pada pagi 9 Mac 2008 itu rakyat Selangor menyaksikan terbentuknya sebuah kerajaan baru gabungan PAS, PKR dan DAP dengan diketuai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB yang baru dan BN buat pertama kali dalam 50 tahun menjadi pembangkang di negeri ini.

 

Begitulah hebatnya kuasa rakyat. Kezaliman dan rasuah, pemimdasan dan kronisma tidak akan diterima dan didiamkan oleh sesiapa pun selama-lamanya.

 

Kini tujuh tahun sudah berlalu. Walaupun bayang atau petanda bagi Umno dan BN untuk bangkit semula di negeri ini langsung tak kelihatan, namun ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP yang mendukung kerajaan yang baru ini perlu sentiasa waspada.

 

Belajar dari kesilapan dan kegagalan Umno dan BN dahulu. Jangan sekali-kali mengulanginya.

 

Rakyat yang menyokong kita hari ini belum tentu akan terus menyokong kita esok malah mereka juga yang punya kemampuan untuk menjatuhkan kita kiranya kita sama mungkar dan zalim sebagaimana kerajaan yang sebelumnya. Kerana itu berhati-hatilah.

 

Rakyat mahukan kehidupan yang selesa. Rakyat mahukan kebajikan mereka diambil kira dan dipeduli. Rakyat mahukan keadilan diberikan kepada semua.

 

Oleh itu kerajaan yang kukuh dan padu berkerjasama melaksanakan amanah di atas akan terus menjadi pilihan dan idaman rakyat.

 

Jika kita mula lalai dan lewa. Mula terpesona dengan kuasa dan turut mengulangi kesilapan mereka yang lampau. Rakyat yang sama nanti akan menghukum kita.

 

Walaubagaimanapun hakikatnya hari ini benih perpaduan yang disemai pada tanggal keramat 8 Mac 2008 dan diulangi dengan lebih besar lagi pada 2013 yang telah tumbuh subur pohonnya sudah mula goyang. Sengketa politik bukan lagi dicetuskan oleh BN yang hampir sudah menjadi sejarah itu di Selangor, tetapi hari ini keretakkan dalam parti-parti yang membina kerajaan baru atas runtuhan BN Selangor itu pula sudah mula kelihatan.

 

Adakah rakyat Selangor wajar diheret sekali ke dalam sengketa ini?

 

Keghairahan satu pihak menolak dan meminggirkan pihak yang lain seolah tiada wajar lagi segala pengorbanan bersama satu ketika dahulu dilihat sebagai tindakan yang tidak beradab, satu budaya yang asing dalam muafakat rakyat khasnya di Selangor.

 

Berbalahlah DAP dan PAS, pasti perbalahan itu menggugat keyakinan rakyat. Menerjang dan menggantikan PAS diketika rakyat sudah selesa dan mula yakin dengan kerajaan ini satu tindakan yang mampu menggugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan ini.

 

Sebagai teraju negeri Dato Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berhadapan dengan cabaran yang paling besar. Rakyat sekali-kali tidak akan merestui perpecahan seumpama ini. Azmin diharapkan berupaya merawat keretakkan ini, jangan sampai membawa belah.

 

Sudah lebih tujuh tahun rakyat Selangor menerima dan meraikan gabungan PAS, PKR dan DAP ini. Mereka korbankan BN lantaran yakin pada gabungan ini. Jangan sentap keselesaan mereka, jangan paksa mereka dengan sesuatu yang membangkitkan keraguan dan keresahan.

 

Bekerjalah untuk rakyat. Lebihkan jasa kurangkan berpolitik. Rakyat Selangor mahukan pembangunan dan kesejahteraan. Jangan paksa mereka bertindakbalas.

 

roslansms@gmail.com

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*