Dr. Abd Rani: Dekati rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan politik

“Kami bagi YB 13 juta, YB tak payah bertanding PRU akan datang. Mati hidup balik pun YB tak akan dapat duit sebanyak ini,” tetamu berpangkat datuk membuka tawaran.

 

 “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka. Memang betul mati hidup balik saya tak akan dapat duit ini. Namun hakikatnya hidup mati hanya sekali. Yang pasti saya akan mengadap Allah, apa yang ingin saya jawab sekiranya menerima wang haram ini?”

 

Datuk itu diam. Egonya dicabar. Siapa sangka tawaran sebegitu besar ditolak mentah-mentah.

 

“Saya terima tawaran yang lebih besar,” tambah Dr. Abdul Rani Osman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru.

 

“Berapa tawaran kamu terima kami tambah lagi 2 juta.” Datuk itu enggan mengalah.

 

Dr. Abd Rani Osman kemudian mengeluarkan senaskah Al-Quran dan diletakkan di atas meja. Tetamu berpangkat datuk itu kehabisan kata-kata. Air matanya. Mungkin insaf mungkin juga kecewa namun yang pasti beliau berlalu meninggalkan Pejabat Khidmat Masyarakat Dun Meru dengan hampa.

 

Usaha memujuk Adun Meru itu supaya tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 berakhir denge kegagalan.

 

 

Walaupun memiliki susuk tubuh kecik, namun ternyata wakil rakyat yang dipilih untuk mewakili penduduk Meru bagi penggal kedua ini memiliki jiwa yang besar.

 

Berpeluang menyantuni wakil rakyat yang mesra dan mudah didekati rakyat ini, merahkuning.com mengambil peluang untuk mengenali beliau dengan lebih dekat.

 

Melibatkan diri dalam politik sejak tahun 1999, Abdul Rani merupakan seorang graduan dalam bidang perubatan dari Universiti Tantar Mesir.

 

“Saya masuk PAS kerana dipujuk wakil parti. Waktu itu pas kekurangan calon untuk bertanding. Jadi Saya terima tawaran tersebut,” katanye kepada merahkuning.com.

 

Abd Rani mula bertanding buat kali pertama pada tahun 2004 dan dikalahkan wakil dari Umno dengan 5000 majoriti. Pada tahun 2008 beliau sekali lagi dicalonkan oleh PAS. Gelombang tsunami politik PRU ke-12 ternyata memberi beliau tuah dengan kemenangn dengan majoriti hampir 5000 sebelum mengekalkan kerusi tersebut sekali lagi pada PRU ke-13 dengan 9079 undi.

 

“Sebelum ini, kerusi ini memang kerusi tradisi Umno, saya wakil rakyat pertama dari parti lain yang mengisi kerusi ini. PRU ke-12 kita lihat rakyat mula membuka mata dengan segala penyelewangan dan rasuah yang berlaku,” tambah beliau.

 

Menurut Abd Rani, rahsia kejayaan beliau mengekalkan kemenangan dan meningkatkan majoriti adalah dengan kegigihan untuk turun melihat dan merasai masalah.

 

“Calon wakil rakyat yang berkebolehan untuk menang mesti turun untuk melihat sendiri masalah rakyat. Cara saya di Meru tidak banyak ceramah, saya turun melawat dari rumah ke rumah. Setiap Isnin dan Khamis saya akan melawat 10 buah rumah penduduk di Meru.

 

“Tanpa mengira parti, bangsa dan agama. Wakil rakyat mesti turun dan bercampur dengan masyarakat,” tegas Abd Rani.

 

Merahkuning ternyata kagum dengan kegigihan wakil rakyat ini dalam memenuhi jadual seharian. Menurut Abd Rani, setiap hari beliau akan berusaha untuk solat subuh di surau-surau berbeza di Meru dan memberikan kuliah subuh ringkas kepada jemaah.

 

“Mereka sudah kenal saya sebelum saya menjadi wakil rakyat kerana saya juga sering menjadi imam solat dan menyampaikan khutbah di masjid-masjid. Jadi dalam kuliah subuh saya tidak pernah sentuh hal politik melainkan mengingatkan jemaah tentang tujuan hidup dan kehidupan kita selepas mati.

 

“Saya cuba membawa pendekatan Islam dalam menjalankan gerak kerja. Bila saya agihkan bantuan saya tidak memilih, semua yang layak terima. Saya beritahu penduduk Meru, alasan-alasan boleh saya reka untuk saya larikan duit bantuan, tapi saya mahu mereka tahu duit ini amanah, duit rakyat. Apa yang saya akan jawab kepada Allah kelak kalau saya larikan duit ini?” tambah Abd Rani.

 

Menurut Abd Rani, beliau turut menghadiri gereja-gereja untuk mendekati masyarakat bukan Islam dan memberi penjelasan mengenai keindahan dan keadilan Islam.

 

Abd Rani yang juga memiliki Klinik Kesihatan sendiri di Pekan Meru iaitu Klinik Fitrah merupakan seorang bapa kepada lima orang anak, dua orang lelaki dan dua orang perempuan manakala seorang telah meninggal. Pasangannya Afidah Anum Mughni merupakan seorang guru.

 

“Dalam kesibukan seharian kadang-kadang saya juga terlepas urusan keluarga. Namun saya sentiasa berdoa dan berharap kepada Allah agar melindungi dan memelihara keluarga saya,” tutur Abd Rani.

 

Anak kelahiran Pelabuhan Klang, Selangor ini turut berkongsi kisah menarik sewaktu beliau menuntut di Tantar Mesir pada tahun 77 sehingga tahun 78.

 

“Pada satu hari selepas solat Isyak, saya dan rakan-rakan bergegas balik untuk sambung ulang kaji sebelum peperiksaan. Sebelum keluar dari masjid, seorang syeikh di Universiti Tantar, Syeikh Masoud memanggil saya. Katanya “Abd Rani, bila kamu pulang ke Malaysia dan menjadi wakil rakyat nanti jangan lupa kepada orang miskin. Dia ulang macam itu tiga kali.

 

“Saya lupa cerita ini sehingga kawan-kawan lama di zaman pengajian mengingatkan saya,” kata Abd Rani.

 

Sebelum meninggalkan pejabat beliau, Abd Rani sempat menyampaikan pesanan kepada penulis. Ringkas namun tersirat makna.

 

“Kamu walau apa kerja sekalipun, yang penting kena bawa ciri Islam.

 

Merahkuning.com berharap Abd Rani akan terus kuat untuk menjalankan amanah sebagai wakil rakyat dan diberikan kepercayaan untuk terus mewakili penduduk Meru pada Pilihan Raya Umum akan datang.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*