Mengharapkan Sesuatu Yang Positif Daripada 2016

2016 adakah ia menjanjikan sesuatu yang lebih baik berbanding 2015?
 
Walaupun kita bersyukur kerana diberi nikmat kehidupan oleh Allah swt namun ternyata 2015 penuh dengan kedukaan dan kesusahan dalam kita merenangi kenaikkan kos hidup yang kronik melanggar setiap individu rakyat dalam negara ini, samada yang kaya lebih-lebih lagi yang miskin.
Bebanan hidup akibat harga barang anda dan perkhidmatan yang menjadi lebih mahal, terutama setelah Kerajaan Persekutuan memperkenalkan GST terus diseret sepanjang menghadapi kehidupan dalam 2015.
 
Gaji, upah dan pendapatan tidak banyak berubah malah ada yang langsung tiada bergerak, sedangkan belanja hidup semakin tinggi dan menyeksa.
 
Kita difahamkan antara faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini adalah suasana ekonomi dan pasaran global. Faktor luar mengakibatkan kita di sini menjadi terumbang ambing.
 
Harga minyak mentah jatuh ke paras terendah iaitu serendah 37 dolar setong sekarang ini dan kemungkinan ia terus merosot sedangkan ia punca pendapatan utama Kerajaan Persekutuan, nilai matawang ringgit semakin susut, harga komoditi khasnya kelapa sawit turut menjunam.
 
Walaubagaimanapun, apa peranan Kerajaan Persekutuan?
Sudah pastilah sebagai kerajaan yang diberi amanah dan kepercayaan oleh rakyat, rakyat mengharapkan mereka bingkas bangkit dengan cadangan dan formula bagi mengalihkan permasalahan ini dari terus menimpa atas kepala bahu rakyat. Kerana itulah anda di sana duduk dalam kabinet, untuk memayungi rakyat.
 
Tetapi apa yang berlaku seakan rakyatlah yang dibenteng hadapan sebagai mangsa sedangkan pengurusan dan pentadbiran negara ditangan mereka ini.
 
Kita telah saksikan sendiri betapa kerajaan berbangga dengan pengenalan GST yang menurut Perdana Menteri telah mampu mengisi kelompongan kurangnya hasil dari minyak mentah. Bermakna kerana kurang hasil, maka poket rakyat yang diseluk untuk menampungnya!
 
Kerajaan negeri Selangor sekurang-kurangnya dalam menghadapi kemelut angkara kelemahan pengurusan Kerajaan Persekutuan ini telah memperkenalkan beberapa langkah demi meringankan bebanan rakyat.
 
Dalam Belanjawan Negeri 2016 sebagaimana kita ketahui, 220,247 pemilik rumah kos rendah, rumah kampung,  kampung baru dan kampung nelayan dikecualikan dari membayar cukai taksiran atau cukai pintu mulai 2016.
 
Selain itu penjaja kecil dikecualikan bayaran fi lesen, pemberian air percuma berjumlah RM170 juta bagi mereka yang layak dan lain-lain inisiatif yang sepatutnya turut difikirkan oleh kerajaan diperingkat Persekutuan yang lebih besar.
 
Sebaliknya apa yang kita terima adalah kenaikkan tol di lebuhraya, kenaikkan tambang pengangkutan awam, kenaikkan tambang bas sekolah, kenaikkan caj letrik bagi pengguna tertentu mulai 2016 dan berbagai lagi.
 
Semoga 2016 nanti mampu memberikan keringanan buat rakyat Malaysia. Walaubagaimanapun dengan kecelaruan pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sejauh mana ianya dapat direalisasikan tidaklah dapat kita ketahui.
 
Sekurang-kurangnya seluruh rakyat perlu berjimat cermat dan mula memikirkan jalan penyelesaian sendiri. Buat masa ini tiada yang terbaik selain kita bangkit merubah kepimpinan tertinggi apabila tiba masa dan ketikanya kelak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*