PERSEDIAAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR DALAM MENGHADAPI EL NINO BERMULA BULAN INI

Fenomena El Nino dijangka akan melanda Negara bermula Januari sehingga Mac tahun ini. Suhu negara dijangka akan meningkat sehingga dua darjah Celsius yang akan melanda semenanjung serta Sabah dan Sarawak pada hujung bulan ini. Kerajaan Negeri Selangor bersedia dengan beberapa langkah mitigasi untuk menghadapai kekurangan taburan hujan sehingga 60% yang akan mengakibatkan kesan musim kering yang akan melanda.

 

Justeru beberapa inisiatif telah dan akan terus dilaksanakan untuk memastikan kesinambungan bekalan air serta kesediaan sumber air seperti berikut :

 

Melaksanakan operasi pembenihan awan (cloud seeding) seperti yang telah dilaksanakan pada tahun lepas di beberapa kawasan tadahan dan lembangan sungai bagi meningkatkan kuantiti sumber air. Pelaksanaan operasi bagi tahun 2016 akan bermula di dalam masa yang terdekat.

 

Meneruskan dan menguruskan operasi pengepaman air dari kolam takungan di sekitar Bestari Jaya tanpa mengabaikan soal kualiti sumber air tersebut. Operasi pengepaman telah bermula pada 8 Januari yang lalu dengan jumlah pengeluaran sebanyak 200 juta liter sehari (JLH). Jumlah pengeluaran ini akan ditingkatkan lagi dengan berfasa daripada 10 kolam yang digunakan.

 

Mengawal pelepasan air empangan bagi memastikan pelepasan dilaksanakan secara optimum dengan mengambil kira sumber air sedia ada. Berdasarkan perkiraan sumber air sedia ada dan jumlah pelepasan maksimum tanpa hujan bagi setiap empangan, anggaran jangka hayat takungan empangan sehingga ke tahap simpanan kritikal adalah 106 hari bagi Empangan Klang Gates, 80 hari bagi Empangan Langat, 220 hari bagi Empangan Tasik Subang, 189 hari bagi Empangan Batu, dan 229 hari bagi Empangan Semenyih. Manakala dengan pelepasan maksimum 1200 JLH, Empangan Sg. Selangor dapat bertahan sehingga 134 hari dan Empangan Sg. Tinggi selama 67 hari dengan pelepasan maksimum 1000 JLH.

 

Pengepaman air daripada Empangan Semenyih ke Langat yang dianggarkan sebanyak 70 JLH untuk memastikan sumber air mencukupi bagi loji pembersihan air (LPA) Sg. Langat dan mengurangkan kebergantungan kepada pelepasan air daripada Empangan Langat.
Menyalurkan air dari terowong Langat 2 ke Sg. Langat yang bertujuan untuk memberdaya ketahanan Sg. Langat untuk LPA Sg. Langat, Bukit Tampoi dan Cheras Batu 11. Penyaluran sebanyak 300 JLH ini akan diaktifkan apabila kapasiti Empangan Langat mencecah 45%.

 

Menyediakan sumber air tambahan melalui 2 kolam warta orang asli di kawasan Hulu Langat untuk kegunaan LPA Bukit Tampoi bagi memastikan kelangsungan bekalan air daripada loji tersebut dan mengelakkan pencemaran akibat peningkatan parameter Mangan dan Ammonia di dalam sungai.

 

Mengadakan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri Selangor untuk memantau dan mengawal bagi mengelakkan berlakunya pencemaran sumber air.

 

Penguatkuasaan yang tegas melalui pemantauan yang berterusan di sepanjang sungai yang terlibat dalam pembekalan air mentah iaitu Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih termasuk semasa waktu cuti dan musim perayaan.

 

Sehingga 12 Januari 2016, kapasiti takungan semua empangan Negeri Selangor berada di dalam keadaan baik melebihi paras 70%. Berikut adalah status semasa kapasiti ketujuh-tujuh empangan Negeri sehingga 12 Januari 2016;

Empangan Sg. Selangor : 100%
Empangan Sg. Tinggi : 91.03%
Empangan Sg. Semenyih : 99.70%
Empangan Sg. Langat : 74%
Empangan Batu : 92.58%
Empangan Klang Gates : 98.52%
Empangan Tasik Subang : 99.58%

 

Kerajaan Negeri Selangor yakin dengan keupayaan takungan empangan untuk menyediakan sumber air mentah yang mencukupi sepanjang musim kering yang bermula pada bulan Januari ini. Kapasiti empangan terkini menunjukkan paras yang lebih tinggi berbanding tempoh masa yang sama pada tahun lepas. Contohnya pada 12 Januari 2015, paras Empangan Sungai Selangor mencatatkan bacaan pada 75.86% berbanding pada tarikh yang sama tahun ini berkapasiti penuh 100%.

 

Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi adalah merupakan empangan utama dalam pembekalan air di Negeri Selangor iaitu meliputi 60% daripada jumlah pembekalan air di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

 

Berdasarkan rekod, penggunaan air per kapita bagi rakyat di Negeri Selangor adalah pada kadar yang tinggi iaitu sebanyak 235 liter sehari. Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pengguna supaya mengurangkan per kapita penggunaan air setiap isi rumah. Ini adalah juga salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan bekalan air di pihak pengguna.

 

Dengan langkah-langkah yang dilaksanakan seperti di atas, Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa bekalan air di Negeri Selangor dapat dibekalkan kepada pengguna secara berterusan.

 

Dikeluarkan oleh;
Y.B. Tuan Haji Zaidy Bin Abdul Talib
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan
Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian,
dan Industri Asas Tani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*