Mesyuarat Menjiwai Roh Wahyu dan Sunnah Nabi

 
 
Allah berfirman dalam surah Ali Imran 159,
 
فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
 
Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
 
Ayat ini mengajar kita bahawa salah satu daripada amalan menjiwai perintah wahyu dan akhlak kenabian iaitu BerSyura atau BerMesyuarat. Dalam sirah Baginda s.a.w. telah dirakamkan bahawa Nabi sering bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya seperti ketika peperangan Badar, Uhud, Khandak dan perbincangan sewaktu hendak termeterai Perjanjian Hudaibiyah.
Keazaman itu adalah mesyuarat. 
 
Ditanya kepada Saidina Ali r.a.akan maksud العزم…
Jawab beliau, “..Keazaman itu adalah Mesyuarat dari kalangan Ahli Ilmu dan pengikutnya..”
 
Dalam Tafsir al Qurtubi menjelaskan terperinci berkaitan ayat ini.
 
Allah s.w.t. memerintahkan Nabi s.a.w. dengan beberapa arahan secara berperingkat. Iaitu Allah menyuruh agar Nabi s.a.w. memaafkan kesalahan mereka, diperintahkan pula kepada Baginda s.a.w. memohon maaf kepada Allah atas kesalahan mereka, barulah layak para sahabat r.a.h. sebagai ahli perundingan dan mesyuarat. Ini bererti mereka yang bermesyuarat dan berjitihad dengan kesungguhan sekalipun sesekali melakukan kesalahan dalam usaha itu akan diampunkan kesilapan mereka.
 
Berkata Ibn Atiah, mesyuarat sebahagian daripada kaedah-kaedah Syariah dan Penetapan Hukum. Barangsiapa yang tidak bermesyuarat atau meminta pandangan orang yang ilmu dan ahli Agama, maka wajib menolaknya.
 
Allah s.w.t memuji orang yang beriman yang bermesyuarat dalam Al Quran, surah as Shura, 38,
 
وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ
 
“..Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka…”
 
Firman Allah s.w.t 
…”وشاورهم في الأمر..”
 
Ayat ini mengharuskan berijtihad dalam perkara-perkara tertentu dan juga diharuskan mengambil pendapat yang samar-samar dengan kemampuan untuk memahami daripada wahyu.
 
Bermesyuarat ialah untuk menunjukkan sikap prihatin terhadap mereka yang diajak bermesyuarat, menghilangkan kekeliruan, menenangkan jiwa mereka sekaligus memuliakan pandangan sesama ahli mesyuarat.
 
Kriteria seseorang ahli mesyuarat itu sekiranya dalam hukum hakam agama, maka hendaklah berilmu dalam agama serta sempurna akalnya. Jikalau dia bermesyuarat dengan memiliki sifat ini, berijtihad dengan keazaman yang tinggi, serta berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mendapat keputusan terbaik, maka sekiranya tersalah juga dalam keputusannya, dia tidaklah dihukum dan dipersalahkan.
 
Berkata Sufyan At Thauri, wajib dipastikan ahli mesyuarat itu mereka dari kalangan yang memiliki sifat taqwa dan beramanah tinggi serta yang hanya takut kepada Allah s.w.t.
 
Hadis diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda,
 
ما منْ قومٍ كانتْ لهم مشورةٌ فحضر معهم مَن اسمهُ أحمدُ أو محمدٌ فشاوَروهُ إلَّا خِيرَ لهم
 
“…tiadalah mana-mana kaum mengadakan mesyuarat, lalu dihadiri bersama sesiapapun yang namanya Ahmad mahupun Muhammad, maka apabila mereka bermesyuarat dengannya tiadalah kecuali hanya kebaikanlah buat mereka…”
 
Syura dan mesyuarat itu dibina atas perkara yang berlaku perselisihan pendapat. Ahli mesyuarat atau syura akan melihat teliti dalam perkara yang khilaf itu. Ahli mesyuarat akan mengambil yang mana satu pendapat mesyuarat yang lebih hampir kepada maksud dan kehendak Al Quran dan As Sunnah semampu mungkin.
 
Ini kerana mesyuarat itu ada keberkatannya. Telah meriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. telah bersabda Nabi s.a.w.
“…ما خاب مَنِ استخار ولا ندِم مَنِ استشار…”
 
“…tiadalah menyesal sesiapa yang beristikharah dan tiadalah kecewa sesiapa yang berunding dan bermesyuarat…”
 
Hadis At-Thabrani
 
Firman Allah s.w.t.
 
…”فإذا عزمت فتوكل على الله….”
 
Al Qatadah berpendapat, Allah memerintahkan kepada RasulNya s.a.w. jikalau telah berazam atas sesuatu perkara maka hendaklah diteruskan keazaman dengan tekad dan bertawakkal kepada Allah, bukan bertawakkal kepada mesyuarat dan keputusan mesyuarat itu.
 
Firman Allah s.w.t.
 
” ..فتوكل على الله إن الله يحب المتوكلين…”
 
Tawakkal ialah meletakkan keyakinan pergantungan kepada Allah s.w.t. disamping menzahirkan kelemahan dan ketidakupayaan.
 
Berkata Sahal rhm, “…barangsiapa yang mengatakan bahawa tawakkal itu dengan mengabaikan sebab-sebab maka dia telah menyalahi sunnah Nabi s.a.w. Ini kerana Allah berfirman dalam Al Anfal 69,
 
فَكُلُوا مِمَّا غَنِمْتُمْ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ ٌ
 
“…Maka makanlah dari apa yang kamu telah dapat (dalam peperangan) itu, sebagai benda yang halal lagi baik..”
 
Ghonimtum atau ghanimah disini membawa maksud berusaha dan bekerja.
 
Maka, bermesyuarat adalah salah satu aspek dalam ikhtiar dan usaha yang bertepatan dengan pengertian roh bertawakkal kepada Allah s.w.t.
 
Umat Islam tidak boleh memandang sepi peranan mesyuarat kerana ia merupakan perintah Allah s.w.t. dan akhlak kenabian. Sekalipun Nabi s.a.w. adalah rasul yang sentiasa dipimpin Allah tetapi baginda tetapi mengadakan mesyuarat dan keputusan yang lahir daripada mesyuarat adalah keputusan yang dipandu oleh Allah.
 
Bermesyuaratlah, di dalamnya ada ukhuwwah, persefahaman, pencerahan, permuafakatan, ketenangan jiwa dan keberkatan. Walaupun adakalanya dalam mesyuarat ada kekhilafan dan keserabutan, namun Allah bersama mereka yang bermesyuarat.
 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*