Bas percuma seluruh Selangor mulai Julai

 

 

 

 

Menjelang Julai tahun ini seluruh penduduk Selangor dijangka mampu menikmati bas percuma bagi setiap daerah apabila perkhidmatan itu diperluaskan ke kawasan luar bandar.

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkhidmatan itu akan diperluaskan ke seluruh negeri bagi memastikan lebih ramai penduduk terutama di kawasan luar bandar menikmati perkhidmatan itu.

 

“Saya dimaklumkan oleh Datuk Teng Chang Khim (EXCO negeri) dalam usaha kerajaan negeri meluaskan perkhidmatan bas percuma, kita akan luaskan perkhidmatan ini di kawasan luar bandar pada Julai ini.

 

“Menjelang Julai, dijangka seluruh PBT akan ada perkhidmatan bas percuma yang disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya ketika perasmian laluan bas percuma PJ03 dan PJ04 di perkarangan stesen LRT Taman Bahagia semalam.

 

Pelancaran laluan baru itu menyaksikan penambahan 12 bas di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 22 buah bas.

 

Lebih membanggakan dua daripadanya merupakan bas elektrik.

 

Tambah Azmin lagi, Selangor kini dalam proses rundingan dengan pihak-pihak berkaitan bagi merangka Pelan Induk Sistem Pengangkutan Awam Negeri yang akan menjamin “kelestarian pembangunan dan sistem pengangkutan awam negeri”.

 

“Kita ingin mendorong rakyat agar beralih dari kenderaan persendirian ke pengangkutan awam. Tetapi pada masa sama, kita bertanggungjawab menyediakan sistem yang benar-benar cekap dan berkesan,” katanya.

 

Dua laluan baru, PJ03 dan PJ04 menumpukan kawasan Utara Petaling Jaya dengan mengutamakan kawasan persekolahan dan pusat tumpuan orang ramai dengan kos perbelanjaan sebanyak RM6.5 juta.

 

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*