Berjamaah Itu Selamat daripada Fitnah Iman.

 

 

 

Allah s.w.t. berfirman,

Surah Al Mujadalah 14-18

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ تَوَلَّوْا قَوْمًا غَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مَا هُمْ مِنْكُمْ وَلَا مِنْهُمْ وَيَحْلِفُونَ عَلَى الْكَذِبِ وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

Pengajaran Ayat al Quran

1. Ayat dalam surah Al Mujadalah ini mengisahkan seorang pemuka Munafik yang bernama Abdullah bin Nabtal yang hadir dalam majlis pertemuan Nabi s.a.w. dan para sahabat hanya untuk mengambil maklumat rahsia daripada perbincangan Nabi s.a.w.
2. Maklumat rahsia yang dicuri oleh Abdullah bin Nabtal akan diserahkan kepada musuh Nabi s.a.w. dan Islam, iaitu Yahudi.
3. Turunnya ayat ini apabila Nabi s.a.w. berkata kepada Abdullah bin Nabtal bahawa dia menghina dan mencerca Nabi s.a.w. di belakang Baginda s.a.w. Lalu Abdullah bersumpah menafikan perbuatannya.
4. Sikap kemunafikan dalam ayat-ayat seterusnya sehingga ayat ke 18 adalah penting untuk diketahui agar kita dapat berwaspasa daripada sifat kemunafikan dan tipu daya golongan ini.
5. Antara lain sikap dan sifat yang diceritakan dalam ayat ini adalah, golongan munafik sering berselindung di sebalik kejahatan mereka dengan sumpah yang sering dilafazkan dibibir dalam penafian mereka.
6. Sumpah sudah menjadi tradisi mereka sekalipun mereka mengetahui penafian mereka dengan sumpah itu atas perkara jahat yang telah mereka lakukan.
7. Abdullah bin Nabtal dan golongan sepertinya menyembunyikan permusuhan dan kebencian mereka terhadap Islam lalu diambil kesempatan itu untuk mereka merencanakan kejahatan terhadap Nabi s.a.w. , Islam dan perjuangan Islam.
8. Perbuatan kemunafikan mereka itu turut diterjemahkan sekalipun mereka berada di akhirat. Mereka bersumpah di akhirat bahawa mereka juga beriman dan mereka juga kononnya istiqamah sedangkan pada waktu itu tidak lagi sesiapapun mampu menyembunyikan segala sesuatu.
9. Itulah sifat mereka yang buruk dimana pendustaan adalah permainan jijik mereka. Bukankah Nabi s.a.w. mengingatkan kepada kita akan tanda kemunafikan, sabda Baginda s.a.w., diriwayatkan oleh Abu Bakar r.a.

آياتُ النِّفاقِ ثلاثٌ مَن إذا حدَّث كذَب وإنِ اؤتُمِن خان وإنْ وعَد أخلَف
Maksudnya , “..tanda kemunafikan itu 3 perkara, bila berbicara dia berdusta, bila diberi amanah dia khianati dan bila berjanji dia mungkiri..”
Riwayat atTabrani

10. Sikap dan perlakuan munafik adalah dari pengaruh syaitan dalam diri mereka. Kehendak mereka dan nafsu mereka adalah sebenarnya kehendak syaitan.
11. Itu adalah berpunca daripada kurangnya mereka mengingati Allah s.w.t. dan hari akhirat. Inilah yang dinyatakan oleh Allah s.w.t. dalam ayat yang lain, firmanNya, surah An Nisa’ 142

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

12. Antara sifat jahat mereka ini dilihat sekalipun mereka bersekongkol dengan musuh Nabi s.a.w. dan orang yang beriman tetapi mereka munafik itu tidak juga berwala’ kepada musuh malah apatahlagi tidak berwala’ kepada Rasulullah s.a.w..

firmanNya,
مَا هُمْ مِنْكُمْ وَلَا مِنْهُمْ
“..Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu..”

FirmanNya dalam ayat lain, an Nisa’ 143,
مُذَبْذَبِينَ بَيْنَ ذَٰلِكَ لَا إِلَىٰ هَٰؤُلَاءِ وَلَا إِلَىٰ هَٰؤُلَاءِ ۚ
“..Mereka berkeadaan “muzabzab” (tidak mempunyai pendirian yang tetap) antara (iman dan kufur) itu; mereka tidak berpihak terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada golongan (yang beriman)..”

13. Mereka seperti ini dinyatakan oleh Allah s.w.t. adalah pendokong syaitan. Ketahuilah bahawasanya syaitan dan kuncu serta pendokongnya akan dikalahkan oleh Allah s.w.t.
14. Maka, fitnah kemunafikan, sifatnya serta tipudayanya adalah besar yang perlu kita berwaspada dan dijauhi.
15. Caranya untuk kita terselamat daripada fitnah ini iaitu dengan bersama Jamaah Islam dan Pemimpin Jamaah Islam yang istiqamah dengan Islam dan syariatNya seperti diberitakan oleh Huzaifah ibn Yaman, daripada Nabi junjungan Muhammad s.a.w. telah bersabda,

كان الناسُ يَسأَلونَ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عنِ الخيرِ ، وكنتُ أسأَلُه عنِ الشرِّ ، مَخافَةَ أن يُدرِكَني ، فقلتُ : يا رسولَ اللهِ ، إنا كنا في جاهليةٍ وشرٍّ ، فجاءنا اللهُ بهذا الخيرِ ، فهل بعدَ هذا الخيرِ من شرٍّ ؟ قال : ( نعمْ ) . قلتُ : وهل بعدَ ذلك الشرِّ من خيرٍ ؟ قال : ( نعمْ ، وفيه دَخَنٌ ) . قلتُ : وما دَخَنُه ؟ قال : ( قومٌ يَهْدُونَ بغيرِ هَديِي ، تَعرِفُ منهم وتُنكِرُ ) . قلتُ : فهل بعدَ ذلك الخيرِ من شرٍّ ؟ قال :
( نعمْ ، دُعاةٌ على أبوابِ جَهَنَّمَ ، مَن أجابهم إليها قَذَفوه فيها ) . قلتُ : يا رسولَ اللهِ صِفْهم لنا ، قال : ( هم من جِلدَتِنا ، ويتكَلَّمونَ بألسِنَتِنا ) . قلتُ : فما تأمُرُني إن أدرَكني ذلك ؟ قال : ( تَلزَمُ جماعةَ المسلمينَ وإمامَهم ).

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?” Rasulullah menjawab, “Benar, akan tetapi terdapat asap (kesamaran) padanya.” Aku bertanya, “Apakah asap (kesamaran) tersebut?” Beliau bersabda, “Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain daripada petunjukku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.” Aku bertanya, “Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Beliau bersabda, “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut mereka maka mereka akan mencampakkannya ke dalam jahannam (kebinasaan).” Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Beliau menjawab, “Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.” Aku bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?” Beliau menyatakan, “Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/478, no. 6557)

اللهم طهر قلوبنا من النفاق و ثبت قلوبنا علي دينك و طاعتك.
Ya Allah, sucikanlah hati kami daripada kemunafikan dan tetapkanlah hati kami atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*