Kementerian adakan mesyuarat bincang fenomena cuaca panas melampau

Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu untuk menangani isu cuaca panas dan kering yang melanda negara.

Menterinya Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata hasil perbincangan mesyuarat tersebut akan dibawa ke mesyuarat kabinet pada Jumaat ini.

 

“Saya telah memberi arahan kepada ketua setiausaha kementerian saya untuk mengadakan mesyuarat tergempar dengan kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kesihatan dan agensi seperti Jabatan Meteorologi dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

 

Antara isu yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah penutup sekolah dan juga pembenihan awan sekiranya cuaca semakin buruk.

 

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kementerian telah merangka pelan kecemasan bagi memastikan hasil tanaman tidak terjejas dalam keadaan cuaca panas akibat fenomena El Nino.

 

Antara langkah awal yang telah diambil adalah menyediakan pam-pam bagi menyalur air ke kawasan tanaman yang strategik di seluruh negara.

 

“Cuaca panas memberi kesan kepada tanaman tertentu. (Walaupun) belum lagi di peringkat bahaya tetapi kita boleh jangkakan misalnya akibat jerebu dahulu (tahun lepas) beri kesan terhadap tuaian padi kita,” katanya.

 

Jabatan meteorologi semalam merekodkan suhu di Alor Setar, Kedah mencapai 38.5 darjah Celcius manakala di Chuping, Perlis suhu direkodkan 38 darjah Celcius disebabkan fenomena el Nino.

 

Cuaca panas melampau ini dijangka lebih teruk selepas 20 Mac depan.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*