Shah Alam bergelap malam ini

Bandaraya Shah Alam akan bergelap selama sejam malam ini sebagai simbolik dan sokongan terhadap usaha World Wildlife Fund (WWF) untuk menyelamatkan bumi daripada pencemaran alam sekitar.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, Kempan 60+ Earth Hour pihaknya menyeru kepada pemilik-pemilik premis di sekitar Shah Alam untuk memadamkan lampu bangunan di premis masing-masing dalam tempoh satu jam mulai 8.30 malam hingga 9.30 malam ini.

“Lampu-lampu yang dipadamkan hanya lampu-lampu hiasan dan lampu pagar.

“Pada masa yang sama, pihak MBSA juga telah mengedarkan poster Kempen 60+ Earth Hour kepada premis-premis di sekitar Shah Alam,” katanya.

Tambah beliau, kempen 60+ Earth Hour ini merupakan kempen pendidikan yang bertujuan untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat sejagat berhubung isu pemanasan global.

“Pemanasan global itu disebabkan oleh pelepasan gas karbon dioksida dan gas-gas lain yang terperangkap di atmosfera permukaan bumi yang kemudiannya menyebabkan iklim dunia semakin panas.

“Kempen 60+ Earth Hour ini mula diperkenalkan sejak tahun 2006 di Sydney, Australia,” katanya.

Shahrin berkata, ia bertujuan menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai perlunya satu tindakan proaktif dalam menangani isu pemanasan global.

“Penglibatan rakyat negara ini semakin ramai dalam kempen ini menunjukkan ia berjaya meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kesan buruk perubahan iklim dunia,” katanya.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*