Bas Smart Selangor dilebarkan ke Kuala Langat Mei ini

Bas Smart Selangor bakal meluaskan perkhidmatan ke Kuala Langat paling awal Mei ini bagi meluaskan manfaatnya kepada penduduk setempat.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, pihaknya menjangkakan perkhidmatan itu akan dilaksanakan lebih awal berbanding perancangan asal pelancarannya pada Julai.

 

Menurutnya, kertas cadangan perlaksanaan perkhidmatan Bas Smart Selangor dibentangkan pada Mesyuarat Penuh MDKL semalam.

 

“Pada masa ini, perkhidmatan bas di daerah ini diuruskan operator bas Syarikat Cityliner yang menyediakan perkhidmatan bas ke tujuh destinasi meliputi kawasan dari Banting ke Klang, Putrajaya, KLIA, Kuala Lumpur dan lokasi dalam daerah.

 

“Perancangan perlaksanaan perkhidmatan Bas Smart Selangor akan menghubungkan laluan utama yang dapat memudahkan jaringan perhubungan sosial melalui jalan darat antara daerah,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Mohd Azhar berkata, Bas Smart Selangor bakal bakal beroperasi di dua laluan yang dicadangkan untuk dua bas yang telah diperuntukkan.

 

Tambah Mohd Azhar, dua cadangan laluan telah dicadangkan termasuk di kawasan tumpuan pembangunan iaitu laluan antara daerah melalui Banting, KLIA, Kota Warisan, ERL Salak Tinggi, Melalui Labohan Dagang, MRSM dan terus ke ERL Salak Tinggi melalui Kota Warisan.

 

Manakala, bagi cadangan laluan 2 (dalam daerah) merangkumi Terminal Bas Banting – Stadium Telok Datok – Pejabat Tanah Kuala Langat – Terminal Teksi Banting – Majlis Daerah Kuala Langat – Hospital Banting – Taman Banting Baru – Terminal Bas Banting di laluan sepanjang 36.95 kilometer sekitar satu jam 11 minit.

 

“Cadangan jumlah bas pula dianggarkan empat buah dalam masa 30 minit,” katanya.

 

Selain itu, MDKL akan mengguna pakai keputusan pihak Pentadbiran Kerajaan Negeri agar penyediaan perkhidmatan Bas Smart
Selangor disediakan melalui perolehan tender terbuka.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*