Jadikan Selangor Smart State terkemuka di dunia, titah Sultan Selangor

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj mahu kerajaan Selangor lebih responsif dan efisien dalam menawarkan perkhidmatan selaras dengan gagasan Selangor menuju Smart State yang dilaungkan kerajaan negeri.

Baginda dalam titahnya menegaskan kerajaan negeri perlu menggunakan penyelesaian teknologi inovatif dalam memenuhu tuntutan moden untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat.

 

“Beta mahu negeri ini menjadi salah sebuah ‘Smart State’ terkemuka di dunia.

 

“Sebagai negeri paling maju, Kerajaan Negeri perlu bersedia menghadapi cabaran dunia yang rumit.

 

“Perkembangan terbaru seperti internet of things, big data, advanced analytics dan media sosial merubah asas perjalanan dunia,” titah Baginda Sultan di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke 13.

 

Sultan Selangor turut menasihatkan Kerajaan Negeri tidak sekadar mengguna pakai perspektif tempatan tetapi juga perspektif serantau dalam persaingan masa kini.

 

“Smart Selangor bukan berkenaan teknologi dan infrastruktur tetapi mengenai isu paling kritikal dan keperluan harian seperti jenayah, pengurusan sampah dan sisa pepejal, pengangkutan, lalu lintas, perkhidmatan kerajaan, pendidikan mahupun kesihatan,” titah Baginda Sultan.

 

Baginda Sultan percaya gagasan Smart Selangor itu dapat diterjemahkan segera sekaligus melonjakkan mutu kehidupan rakyat, peluang pekerjaan dan kemudahan perniagaan serta meningkatkan daya tarikan Selangor sebagai destinasi bakat dan pelaburan melalui ‘Smart Branding’.

 

“Beta percaya rakyat Selangor amat teruja untuk menyertai perjalanan menuju Smart Selangor. Maka, ia perlu dimulakan dari sekarang,” titah Baginda Sultan.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*