Tangani Buli : Penerapan 7 Nasihat Luqman al Hakim

 
 
 
 
Sistem persekolahan negara ini sekali lagi dikejutkan dengan insiden buli. Pada kali ini berlaku seorang murid tahun dua di Bukit Tinggi, Klang yang dipaksa oleh sekumpulan lima orang murid lain supaya memotong lidahnya sendiri.
 
Kejadian ini mencetuskan satu isu yang perlu sama-sama semua pihak dan khasnya pihak berwajib agar melihat kembali saranan Islam dalam konteks sistem pendidikan dan pelajaran. Tidak dinafikan bahawa usaha-usaha pelbagai telah diambil perhatian dan juga diinisiatifkan oleh pihak kerajaan mahupun sekolah untuk mengelakkan kejadian seperti ini terjadi. Malah sudah tentu pihak tertentu telah mengambil peduli hal sistem pembelajaran dan juga ilmu diajar di sekolah-sekolah agar anak-anak di sekolah mendapat pendidikan yang sewajarnya.
 
Walau begitu, kenapa masih lagi kedapatan seolah-seolah sistem pendidikan dan juga matapelajaran yang diajar menampakkan pelajar mahupun murid sekolah masih berdepan dengan kegagalan, khasnya dari sudut akhlak.? Persoalan ini adalah untuk difikirkan bersama oleh kita semua untuk kita terus berusaha tanpa berputus asa kerana Islam pastinya adalah penyelesaiannya.
 
Artikel ini, bukanlah tujuan untuk mengkritik tetapi semata-mata untuk sama-sama kita menyelusuri sistem pendidikan buat anak-anak sebagaimana yang dipandukan menerusi Al Quran.
 
Surah Luqman merupakan satu surah yang terkenal dalam konteks didikan anak-anak. Bahkan surah dan kisah Luqman ini menjadikan inspirasi dan idea kepada kita bahawa dalam Islam sudah ada panduan bagaimana saranan Islam dalam pendidikan terutama pendidikan  murid dan pelajar sekolah.
 
Secara ringkasnya, terdapat 7 konsep pendidikan daripada kisah Nasihat Luqman kepada anaknya. 7 poin penting disebut oleh Allah s.w.t. dalam surah Luqman dari surah ayat 13 sehingga ayat 19.
 
Pertama, KONSEP KETAUHIDAN. Perkara yang paling mustahak dalam apa sahaja didikan dan pelajaran adalah asas Aqidah atau Tauhid. Perkara yang utama adalah mengenal Allah dan mentauhidkan keEsaanNya. Murid dan pelajar yang diasuh dan dididik adalah merupakan tanggungjawab dan amanah Allah dan perkara yang paling besar dalam tanggungjawab itu ialah memperkenalkan mereka kepada Allah s.w.t. dan menjadikannya sebagai hamba Allah.
Dalam apa sahaja ilmu yang diajar kepada murid mahupun pelajar, samada ilmu duniawi lebih-lebih lagi ukhrawi, aspek tauhid jangan sama sekali dipisahkan. Pemisahan aspek ini dalam pendidikan dan matapelajaran adalah faktor utama dalam penyampaian ilmu dan didikan. Kegagalan dalam mengenali Allah menatijahkan manusia khasnya murid dan pelajar bertuhankan nafsu dan syahwat. Manusia yang tidak mengenali Allah, maka dia tidak akan mengenali dirinya sendiri. 
Firman Allah s.w.t. ayat 13,
 
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ
 
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
 
Kedua, KONSEP DIDIKAN DAN ASUHAN IBUBAPA. Allah memerintahkan kepada kita agar mentaati ibubapa sesudah perintahNya kepada kita menyembahNya. Ini memberikan isyarat jelas bahawa dalam pendidikan sesudah penekanan aspek keimanan, maka murid dan pelajar hendaklah dipastikan hubungan mereka dengan ibubapa serta “environment” atau suasana kekeluargaan menjadi keutamaan. Murid dan pelajar selain mereka menghabiskan masa 6 hingga 8 jam sehari bersama guru di sekolah, namun ibubapa adalah perkara asas dalam didikan.
 
Murid dan pelajar mesti menjadikan guru yang hakiki dan dan idola sebenar kepada mereka adalah ibubapa mereka sendiri. Ibubapalah juga selain mereka yang memberikan makan, minum dan tempat tinggal kepada anak-anak, ibubapa adalah guru yang bukan hanya mencurahkan ilmu bahkan kasih sayang. Guru di sekolah walaupun mengambil berat akan murid dan pelajar mereka, namun kasih sayang tidak sama dengan apa yang sepatutnya diperoleh oleh murid daripada ibubapa mereka. 
Lihatlah firmanNya dalam ayat ke 14 dan 15.
 
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
 
“..Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)..”
 
وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
 
“..Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan…”
 
Ketiga, PENDIDIKAN KONSEP IHSAN iaitu menerapkan keyakinan dan kepercayaan akan perkara ghoibiyyat. Aspek kepercayaan dosa pahala, syurga dan neraka serta unsur pemantauan Allah dan catatan amalan oleh para malaikat  adalah penting dalam pendidikan dan pelajaran. Inilah yang menghasilkan martabat konsep Ihsan iaitu ” kamu menyembah Allah seolah-olah kamu sedang melihatNya dan sekirany kamu tidak melihatNya, sesungguhnya Allah itu sedang melihat kamu.”
 
Apa juga bidang pendidikan dan pelajaran yang sedang dipelajari oleh murid dan pelajar dan apa sahaja cita-cita masa depan mereka samada doktor, jurutera, arkitek, guru, polis, menteri mahupun sesiapa sahaja, adalah satu keperluan bahawa mereka hendaklah dididik dengan pegangan asas ini. Iaitu segala amalan dan perbuatan kita dicatat dan akan dihitung di akhirat nanti. Perbuatan yang dilakukan samada kecil mahupun besar, sengaja dan tidak sengaja, semuanya tidak akan terlepas daripada pandangan Allah dan dibalas olehNya samada di dunia malah di akhirat nanti. FirmanNya dalam ayat 16,
 
يَا بُنَيَّ إِنَّهَا إِنْ تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِنْ خَرْدَلٍ فَتَكُنْ فِي صَخْرَةٍ أَوْ فِي السَّمَاوَاتِ أَوْ فِي الْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ
 
“..(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi…”
 
Keempat, SOLAT ASAS AGAMA. Solat adalah tiang agama. Jikalau rosak solatnya maka runtuhlah agama seseorang itu. Sebab itulah, pesanan solat adalah pesanan terbaik dalam pendidikan. Kegagalan dalam solat adalah hakikat sebenar kegagalan dalam sistem pembelajaran Islam, bukan semata-mata dilihat gagal mencapai markah atau gred A dalam subjek sekolah.
 
Pendidikan dalam pandangan Islam ialah bermatlamatkan membentuk murid dan pelajar menjadi hamba Allah bukan selainnya. Solat adalah lambang perhambaan seorang manusia kepada Allah. Solat membawa mesej pendidikan yang terkandung di dalamnya ultra manfaat. Dalam solat ia mendidik disiplin, penjagaan waktu, ketaatan kepada ketua, kebersihan, penumpuan dan fokus serta pelbagai macam faedah selain membawa kepada limpahan hidayah dan rahmat daripada Allah s.w.t.
 
Kelima, KONSEP GALAKKAN AMALAN POSITIF DAN JAUHI NEGATIF. Saranan dalam sistem pendidikan yang juga penting adalah galakkan dan suruhan aktiviti yang makruf ” positif ” serta menjauhi aktiviti mungkar ” negatif “. Perkara adalah lanjutan sifat terhasil daripada keberkesanan kesempurnaan solat. Solat itu menghasilkan natijah antara lain memberikan kekuatan kepada seseorang menjauhi perkara mungkar.
 
Oleh itu, murid dan pelajar hendaklah didedahkan dengan program dan aktiviti yang bersifat dorongan melakukan kerja-kerja kebajikan dan amalan murni dan sekaligus menjauhi diri mereka daripada aktiviti mungkar dan tidak berfaedah.
 
Ini terhasil dengan tidak hanya meletakkan pendidikan itu dalam lingkungan sempadan pagar sekolah sahaja, tetapi diluar pagar sekolah, perkara-perkara mungkar dan maksiat dibiarkan dan dihalalkan sehingga mudah diakses oleh murid dan pelajar selepas waktu sekolah seperti pusat hiburan, konsert dan program yang berunsur maksiat dan melalaikan. Aspek ini menuntut kepada penerapan Islam dalam segenap kehidupan masyarakat dan bukan hanya Islam dalam sempadan dinding masjid dan sekolah atau bangunan sahaja. Pihak berkuasa juga perlu memastikan baiah dan suasana masyarakat adalah menepati nilai Islam dan mesra dengan kehadiran anak-anak dan pelajar. Ini adalah kerana suasana sekeliling adalah faktor kepada pembentukan masyarakat khasnya murid dan pelajar.
 
FirmanNya dalam ayat 17,
 
يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَىٰ مَا أَصَابَكَ ۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
 
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.
 
Keenam, MEMBINA KEYAKINAN DIRI. Ketahanan dan kekentalan jiwa adalah aspek pendidikan terpenting. Dalam pelajaran, salah satu modul yang perlu ditanam dalam sanubari dan jiwa seorang murid adalah keyakinan dan kekentalan jiwa. Islam melihat usaha mendapat dan memperolehi ilmu adalah jihad. Proses mendapatkan ilmu adalah jihad yang memerlukan mujahadah dan menuntut kepayahan dan kesusahan.
 
Sebab itulah, para alim ulamak terdahulu terkenal dengan ilmu mereka adalah disebabkan kesungguhan dan kekentalan mereka dalam proses memperolehi ilmu. Berkata Imam Malik pengasas mazhab Maliki r.h., “Ilmu itu didatangi dan bukannya ia datang kepada kamu..”. Kata-kata ini adalah satu pesanan penting menjelaskan bahawa seseorang yang ingin mendapatkan ilmu hendaklah berusaha. Usaha dan kegigihan dalam proses ilmu inilah membentuk jiwa kental yang menuntut kesabaran setiap penuntut ilmu yang natijahnya ialah kemampuan murid dan pelajar untuk mampu berdikari dan sabar dengan resam dan rencah kehidupan. Murid dan pelajar perlu digalakkan untuk melalui liku-liku kesusahan dalam mendapatkan ilmu dan ini mampu sedikit sebanyak mematangkan mereka dan bukannya menyuap begitu sahaja. Sila rujuk ayat ke 17.
 
Ketujuh, BUDIPEKERTI MULIA ADALAH NILAI TERTINGGI. Kata hukama’ adalah menyebut, ” setiap perkara atau benda apabila banyak maka susutlah harganya. Kecuali satu perkara atau benda sahaja yang meningkat nilainya apabila banyak, iaitu akhlak.” Dalam sistem pelajaran pada masa kini, mengajar subjek dan matapelajaran adalah mudah. Akan tetapi mendidik akhlak dan budipekerti itu adalah satu cabaran yang sangat besar. Aspek Akhlak dalam pendidikan mesti menjadi keutamaan.
 
Janganlah keghairahan kita untuk memastikan pencapaian kecemerlangan dalam subjek dan matapelajaran sehingga aspek akhlak di kesampingkan. Nilaian pada akhlak dan budipekerti mestilah dijadikan perkara penting dan nilaian pencapaian kejayaan di sekolah. Begitulah juga, dalam apa juga didikan dan asuhan, penerapan mesej akhlak secara tidak langsung adalah matlamat dalam setiap pelajaran dan subjek. Pembentukan akhlak terpuji atau sifat mahmudah dan menjauhi sifat mazmumah adalah kemuncak pendidikan dan pembelajaran. Tiada gunanya seorang yang pandai dan cemerlang dalam subjek pelajaran tetapi berakhlak buruk dan keji seperti sombong, bongkak, membangga diri, riya’ dan lelainnya. Semua sifat keji itu menjadikan kejayaan seseorang itu dalam pelajarannya atau persekolahannya sebagai musibah dan bahana kepada dirinya sendiri dan juga orang lain. Lihatlah pesanan Allah dalam ayat 18 dan 19 dalam surah Luqman.
 
وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
 
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
 
 
وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ
 
“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.
 
Semoga dengan perkongsian ini sedikit membantu kita dalam memahami konsep pendidikan dan sistem pelajaran berdasarkan pesanan daripada Al Quran yang menjadi panduan dalam segenap urusan kehidupan kita. Sama-samalah kita hayati dan meneliti bagaimana Al Quran telah memberi penyelesaian dalam segala kemelut yang kita hadapi yang pastinya didikan dan asuhan daripada Al Quran adalah terbaik.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*