Kerajaan negeri bakal kaji balik pemberian air percuma

Kerajaan negeri Selangor tidak menolak kemungkinan untuk menyemak semuala dasar air percuma 20 meter padu di negeri itu
selepas proses penstrukturan semula industri air selesai sepenuhnya.

 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, mempertimbangkan cadangan untuk menyediakan perkhidmatan itu hanya kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana kos pengambilalihan menelan perbelanjaan yang tinggi oleh kerajaan negeri.

“Ini antara pandangan yang banyak kita terima dalam beberapa tempoh lalu (pemberian air percuma kepada rakyat berpendapatan rendah sahaja). Program yang begini baik dan menelan kos yang besar dapat dimanfaat oleh golongan yang benar-benar memerlukan.

“Bagaimanapun, pada ketika ini kerajaan negeri masih memutuskan untuk teruskan (program air percuma) bagi 2016, namun setelah selesai penstrukturan industri perkhidmatan air yang juga menelan kos begitu tinggi, maka amat wajar cadangan dikemukakan diberikan perhatian serius supaya kos dikeluarkan ini dapat tepati kumpulan sasaran ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib daripada Parti Amanah Negera (Amanah) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri bercadang melaksanakan program pemberian air percuma itu hanya kepada rakyat berpendapatan rendah.

Menurut Azmin sejak mula dilaksanakan pada 1 Jun 2008 sehingga 31 Disember 2015, program pemberian air percuma menelan kos sebanyak RM1.1 bilion dan ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri. Beliau dalam pada itu menyeru rakyat Selangor supaya mengamalkan sikap berjimat cermat apabila menggunakan air.

“Statistik mendapati kadar penggunaan air dianggarkan 235 liter bagi setiap individu setiap hari dan kadar penggunaan ini adalah sangat tinggi jika dibandingkan dengan kadar penggunaan di Singapura yang hanya guna 170 liter seorang sehari dan piawaian dikeluarkan oleh WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) hanya 150 liter seorang sehari,” tambah Azmin.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*