Nadwah Pemikiran Islam Membentuk Momentum

Nadwah Pemikiran Islam bertemakan Islam dalam Menangani Kepelbagaian yang menggabungkan usahasama beberapa NGO iaitu Pertubuhan Pendakwah Selangor PPS, Geng Ustaz, Akademi Al Ghazali, Ilmuwan, Gamis, Muslim Care, Tautan Rahmat, Asatizah dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Selangor telah disempurnakan dengan jayanya pada hari ini. Nadwah initelah diadakan d Dewan Dato’ Hj Fadhil Noor KUIZM Taman Melewar yang pada asalnya di Masjid Negeri Shah Alam Selangor tetapi terpaksa ditukar ke KUIZM pada saat akhir disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan. 
 
Nadwah Pemikiran Islam ini adalah satu inisiatif gabungan usahasama beberapa kumpulan NGO untuk memberikan satu alternatif jawapan kepada beberapa isu dan persepsi yang timbul dalam masyarakat dalam lapangan politik dan rakyat. Nadwah ini akan menjadi platfom untuk mengumpul ulamak dan cendiakawan haraki daripada pelbagai latarbelakang untuk mengemukakan cadangan solusi menurut perspektif Islam sesuai dengan isu semasa. 
 
Sebanyak 8 kertas kerja telah dibentangkan sepanjang nadwah kali ini oleh para pembentang daripada pelbagai tajuk merangkumi tema Islam dan Kepelbagaian. Diantara pembentang adalah Prof. Madya Dr Mazlan Ibrahim, Dr Atiullah Othman, Ustaz Muhammad Najhan Halim, Dr Muhammad Faisal Ashaari, Sdr Haris Zalkapli, Dr Sukki Othman, Ustaz Dasuki Abd Rani dan Ustaz Zaharuddin Muhammad. 
 
Sambutan para peserta amat menggalakkan dengan kehadiran mencecah 700 orang kehadiran yang rata-ratanya dari kalangan pelajar dan anak muda. Pihak penganjur pada asalnya menerima respon sepanjang tempoh pra pendaftaran hanya sekitar 300 orang sahaja tetapi penambahan kehadiran pada hari program memberi kejutan kepada pihak penganjur. 
 
Pada sesi soal jawab antara para peserta dan pembentang, pelbagai soalan dan perkara dibangkitkan oleh para peserta kepada pembentang dan ini menggambarkan suasana kerancakan program nadwah dan juga perhatian yang penuh minat oleh peserta nadwah. 
 
Nadwah Pemikiran kali 1 ini juga berjaya menghasilkan kompilasi setebal 135 muka surat daripada hasil kertas-kertas pembentangan yang dituliskan oleh para pembentang dan dibukukan sebagai buah tangan para peserta nadwah.
 
Majlis penutup Nadwah Pemikiran Islam kali ini diserikan dengan kehadiran Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man Timbalan Presiden PAS yang sudi hadir menambahkan keberkatan program nadwah. Dalam ucapan penggulungan beliau menyebut tentang bagaimana sikap PAS sendiri yang sentiasa terbuka menerima kritikan dan meraikan kepelbagaian idea dan pandangan. Akan tetapi PAS cukup berpegang dengan prinsip Islam sebagai kekuatan PAS dan tidak berganjak daripada prinsip ini walaupun perbezaan pendapat dan strategi boleh berubah-ubah. 
 
InsyaAllah Nadwah Pemikiran Islam akan diteruskan dan momentum sambutan daripada kalangan anak muda dan pelajar akan menjadi inspirasi pihak penganjur untuk berusaha menjayakannya dengan lebih baik pada masa akan datang.
 
Semoga Allah s.w.t. memberkati usaha ini dan juga memberi kekuatan istiqamah kepada semua pihak khasnya penganjur untuk meneruskan inisiatif yang baik ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*