Rakyat Bangladesh Masih Minum Air Dicemari Arsenik

DHAKA: Sejumlah 20 juta warga miskin Bangladesh masih meminum air yang dicemari arsenik, dua dekad selepas toksin berbahaya itu ditemui dalam bekalan air, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) hari ini.

 

Laporan baharu kumpulan itu menyatakan Bangladesh gagal mengambil langkah awal bagi menangani masalah itu yang membunuh kira-kira 43,000 warga Bangladesh setiap tahun, kebanyakannya di kawasan luar bandar yang miskin. Bekalan air tercemar itu bermula sejak 1970-an apabila kerajaan Bangladesh menggali jutaan telaga tiub cetek untuk menyediakan air bersih kepada penduduk tanpa menyedari tanah itu banyak bercampur dengan arsenik secara semula jadi.

 

“Bangladesh tidak mengambil langkah asas untuk mengeluarkan arsenik daripada air minuman jutaan rakyat miskin luar bandar “Sebab mengapa tragedi besar ini masih berterusan adalah tadbir urus yang lemah.” kata penyelidik HRW, Richard Pearshouse kepada AFP. Tiada reaksi segera daripada kerajaan tetapi seorang pegawai yang enggan dikenali memberitahu AFP penggubal undang-undang menentukan di mana 50 peratus daripada telaga tiub yang dibiayai kerajaan itu patut digali.

 

“Ia satu dasar yang diluluskan kerajaan. Penggubal undang-undang ada peluang untuk menyalahgunakan kuasa dan memberikan telaga tiub kepada penyokong mereka, bukan mereka yang terjejas teruk oleh pencemaran arsenik,” katanya.

 

Pendedahan kronik kepada arsenik dikaitkan dengan kanser hati, buah pinggang, pundi kencing dan kulit, serta penyakit jantung tetapi HRW menyatakan ramai mangsa di Bangladesh tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan. – AFP

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*