Ancaman PAN Sikit Pun Tidak Menggugat PAS dI Selangor

Dengan angkuh parti hingusan bernama Pan mengisytiharkan akan bertanding di kesemua 20 kerusi DUN dan 7 kerusi Parlimen yang ditandingi PAS di Negeri Selangor. Dalam PRU 2013 PAS menang di 15 kerusi DUN dan 4 kerusi Parlimen.

Sedang tumpuan diberikan oleh semua parti politik pada Pilihanraya Negeri Sarawak, parti yang diasaskan oleh pengkhianat PAS ini lebih bernafsu mahu menunjukkan kekuatannya kononnya sudah bersedia bertanding melawan PAS di Selangor.

 

Sepatutnya di Selangor tumpuan diberikan oleh parti yang memerintah untuk membangunkan negeri selain membela nasib dan kebajikan rakyat tetapi parti “jelmaan” DAP ini lebih  tergiur mengejar kuasa sedangkan kekuatannya pun tidak pernah terbukti malah dicurigai.

 

Sudah cukupkah bilangan cawangan mereka di Selangor? Sudah cukup dan lengkapkah jentera pilihanraya mereka?

 

Apa pun ini negara demokrasi, asalkan ada parti (kalau tidak ada boleh jadi calon bebas) dan mampu bayar wang pertaruhan untuk bertanding, maka masing-masing bebas untuk bertanding di mana sahaja.

 

PAS sudah bertapak di Negeri Selangor sejak penubuhannya lebih 60 tahun lalu. PAS punya kawasan di kesemua kerusi Parlimen di negeri ini dan punya cawangan kedua terbesar selepas Umno.

 

Terjahan Pan ini sedikit pun tidak mencuit PAS, malah bukan sahaja ahli-ahli PAS tetapi diyakini rakyat negeri Selangor pun tidak akan mudah tertipu untuk mengundi sebuah parti yang ditubuhkan semata-mata atas sentimen kekecewaan mereka yang mengejar jawatan dan ditaja pula oleh sebuah parti dengan agenda untuk memusnahkan PAS.

 

Rakyat Selangor telah menolak Umno dan BN dalam Pilihanraya Umum tahun 2008 diikuti dengan 2013 kerana mereka enggan lagi bernaung di bawah parti yang tempang dan pincang. Mereka mahukan parti yang lebih berwibawa, jujur,bersih dan berupaya untuk membimbing dan memimpin negeri dan rakyat ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Bukan sekali-kali Umno atau parti yang mengingatkan mereka kembali pada perangai dan gelagat Umno.

 

Kiranya rakyat faham agenda Pan ini serta kaitan mereka dengan DAP yang jelas anti PAS, tidak mustahil parti mentah ini bukan hanya akan kalah menentang PAS malah tidak mustahil hilang wang pertaruhan dan terus berkubur tanpa nisan.

 

Sejarah telah menunjukkan bahawa parti yang diasaskan oleh mereka yang kecewa ini biasanya tidak lama bernyawa di Malaysia. Diyakini Pan yang sarat dengan kebencian pada PAS dan agenda perjuangannya itu juga akan menerima nasib yang sama sebagaimana parti-parti seumpamanya sebelum ini.

 

Jentera PAS di Selangor sudah pun terlatih dan kini memberi fokus bagi mempertahankan kerusi yang ada selain menawan kerusi-kerusi baru. Bagi PAS kerja pilihanraya ini adalah kerja serius oleh itu datanglah sesiapa sahaja yang mencabarnya, bujur lalu melintang patah, Umno, Pan atau sesiapa sahaja kesemuanya akan dihadapi dan ditentang, tiada istimewanya.

 

Yang penting Islam mesti dibela dan dipelihara.                                                                               

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*