Menangani Politik Rasis di Malaysia

Akhbar Sinar Harian hari ini memberi fokus kepada isu rasisme atau politik perkauman.

Merah Kuning mendapati bahawa isu ini terus menghangatkan politik Malaysia kebelakangan ini terutama apabila masyarakat Malaysia menjadi semakin matang dari sudut pemahaman politik selain lebih bermaklumat melalui perkembangan teknologi semasa.

 

Masyarakat Malaysia rata-rata masih selesa dan mahu dikenal melalui bangsa atau suku kaum masing-masing namun demikian tiap-tiap mereka tanpa syak telah menerima Malaysialah sebagai satu-satunya tanah tumpah darah mereka.

 

Uniknya negara ini walaupun ia pelbagai kaum dan agama, rakyatnya dapat hidup aman dan damai dengan sikap toleransi yang baik yang tidak didapati di negera-negara lain termasuklah negara maju sekalipun.

 

Namun isu politik perkauman ini tetap wujud dan diperdebatkan sehinggalah ke hari ini.

 

Parti-parti yang berasaskan bangsa atau suku kaum memang wujud dan aktif dalam negara contohnya Umno yang mewakili kaum Melayu dan Bumiputera, MCA bagi kaum Cina dan MIC buat kaum India. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu atau PBB di Sarawak lebih pada kaum Bumiputera Sarawak, UPKO di Sabah mewakili suku kaum Kadazan/Dusun.

 

Terdapat juga parti yang mendakwa ianya parti pelbagai kaum namun hakikatnya ia didominasi cuma oleh satu bangsa atau kaum sahaja contohnya Gerakan yang lebih diwakili masyarakat Cina dan demikian juga DAP dan SUPP di Sarawak.

 

Cuma PAS sahaja parti berteraskan agama yang keahliannya rata-rata terdiri dari rakyat beragama Islam manakala yang bukan Islam boleh berdaftar dan menjadi ahli bersekutu melalui Dewan Himpunan Penyokongnya atau DHPP.

 

Menurut Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Irmohizam Ibrahim sebagaimana dipetik akhbar Sinar Harian, ahli politik perlu menjadi “role model” kepada penyokongnya supaya amalan rasis dapat dihakis dalam diri masyarakat.

 

Dalam erti kata lain sekiranya hali politik sendiri terlalu cenderuung dan mengapi-apikan sentiment perkauman maka pastilah masyarakat juga akan terbakar dan meluap-lupa semangat perkaumannya.

 

Manakala Ketua Penerangan PAS Ustaz Nasarudin Hassan pula berpendapat politik seharunya menjadi mekanisme menyatupadukan masyarakat berbilang kaum, bukannya alat yang membawa kepada kemudaratan. Tambahnya lebih parah apabila politik itu sampai ke tahap fanatik dan taksub kepada sesuatu sehingga ada yang tidak berlapang dada dan tidak boleh menerima kebaikan daripada pihak lain.

 

Merah Kuning berpandangan negara ini masih belum bersedia menerima politik satu bangsa sebagaimana slogan Malaysian Malaysia yang cuba dijuarai oleh parti tertentu. Sejarah membuktikan bahawa bangsa Melayu yang merupakan penduduk asal negara ini telah menerima dengan hati terbuka dan lapang dada, kewarganegaraan dibuka kepada masyarakat bukan Melayu khasnya Cina dan India yang telah bermastautin di sini sebelum Merdeka lagi.

 

Dari situlah wajudnya masyarakat Malaysia pelbagai kaum khususnya Melayu, Cina dan India diikuti dengan suku kaum lain dari Sabah dan Sarawak selepas pembentukkan Malaysia 1963.

 

Atas diplomasi dan keterbukaan orang-orang Melayu inilah maka beberapa keistimewaan dijanjikan pada mereka dan kekal termaktub dalam Perlembagaan Negara umpamanya bab agama Islam, Raja-raja, Bahasa Melayu dan hak istimewa orang-orang Melayu dan Bumiputera.

 

Dalam waktu yang sama hak dan budaya masyarakat bukan Melayu warganegara Malaysia terpelihara dan turut terjamin.

 

Kesimpulannya memperjuangkan sesuatu yang berlawanan dengan konsep ini itulah punca rasisme manakala memperjuangkan apa yang telah sedia diamal dan diterima rakyat Malaya dan kemudiannya Malaysia zaman-berzaman itulah politik yang mulia dan matang.

 

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*