Katakan ‘Tak Nak’ Ponteng

Menurut akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 Mac 2011, dilaporkan seramai 103 orang pelajar di Terengganu yang ponteng sekolah telah berjaya ditangkap dalam satu operasi yang dinamakan ‘Gerak Gempur Basmi Ponteng Sekolah.’ Setelah dilakukan siasatan, rupa-rupanya mereka ini bijak berlakon hadir ke sekolah. Mereka turun dari rumah pada awal pagi lengkap berpakaian seragam sekolah dan menggalas beg. Namun lokasi yang dituju bukanlah ke sekolah tetapi ke premis kosong, belukar, pusat permainan dan tempat peranginan.

 

Artikel kali ini mahu berkongsi tentang betapa buruknya gejala ponteng ini. Berleluasanya gejala ini telah memeningkan banyak pihak baik ibu bapa, masyarakat setempat mahupun institusi pendidikan itu sendiri. Kita perlu menyedari bahawa kesan buruk ponteng ini bukan terpalit kepada pelakunya sahaja. Kajian menunjukkan orang yang suka ponteng akan terjebak kepada perkara berikut:

–        Terpengaruh dengan kawan-kawan yang nakal

–        Berani mencuba perkara baru yang salah seperti merokok dan menghisap dadah

–        Cenderung mencari hiburan yang melampau seperti pusat video game/snuker/muzik rock

–        Membuang masa dengan melepak di cybercafé dan mula tergamak akses video lucah

–        Mengalami tekanan hidup seperti keretakan rumah tangga dan kekecohan di dalam keluarga

 

Kesan Buruk Ponteng

Kesan daripada terjebak perkara ini juga akan mengakibatkan remaja yang suka ponteng kelas contohnya akan semakin lama semakin hilang keyakinan diri. Kemudian individu itu akan mula lemah dalam pelajaran lantas gagal dalam peperiksaan. Seterusnya ialah berlakunya keciciran dalam pembelajaran yang akan membawa kepada keciciran persekolahan. Situasi ini sebenarnya bukan sahaja boleh terjadi kepada remaja di alam persekolahan, malahan mahasiswa di universiti dan mereka yang terlibat di alam pekerjaan juga akan mengalami natijah yang sama.

 

Itulah bahayanya ‘virus’ ponteng. Ia umpama kanser yang bersarang di dalam tubuh. Kesannya perlahan-lahan. Lama-lama apabila kritikal, kanser itu mula merayap ke organ-organ badan lalu menyebabkan seluruh tubuh akan sakit sehinggalah boleh menyebabkan kematian! Oleh itu, jangan sesekali kita cuba-cuba untuk mengetahui bagaimana rasanya apabila ponteng sesuatu komitmen yang dituntut kita untuk menghadirinya.

 

Teladani Kisah Nabi Sulaiman A.S dengan Burung Hud-Hud

Para remaja tentu pernah dengar cerita tersohor tentang burung Hud-Hud dengan Nabi Sulaiman A.S yang dirakamkan di dalam Al-Quran bukan? Pada mulanya burung Hud-Hud didapati tidak hadir ke perhimpunan seluruh pengikut Nabi Sulaiman A.S yang terdiri daripada jin dan haiwan. Nabi Sulaiman A.S sangat murka dan tutur kata ancamannya dirakamkan Al-Quran yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir.” (Surah Al-Naml : 21)

 

Menariknya daripada cerita ini ialah burung Hud-Hud akhirnya hadir juga mengadap Nabi Sulaiman A.S walaupun terlewat. Hud-Hud telah menjelaskan sebab lewatnya ialah kerana beliau telah terserempak dengan seorang wanita bernama Balqis, seorang ratu kerajaan Saba’ yang belum beriman kepada Allah SWT. Nabi Sulaiman A.S telah melepaskan Hud-Hud dari seksaan atau sembelihan kerana maklumat tersebut sangat berguna untuk beliau menyebarkan hidayah Allah SWT.

 

Mari kita fikir bersama, sekiranya Nabi Sulaiman A.S ada di zaman kini, lepaskah hujah orang-orang yang suka ponteng dari hadir perjumpaannya? Masih adakah hujah remaja yang tidak hadir ke kelas pengajian yang sejujur dan sekukuh burung Hud-Hud? Dan lihatlah kembali apakah akibat mereka yang melanggar arahan Nabi Sulaiman A.S ini untuk dijadikan peringatan kepada kita!

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*