PAS terus berlawan, perjuangan bukan hanya setakat kemenangan politik

PAS akan terus melawan kemungkaran dan ketidakadilan walaupun parti Islam itu gagal memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 semalam, demikian tegas Naib Presidennya Ustaz Idris Ahmad.

Menurut Ustaz Idris, kekalahan itu tidak akan melemahkan PAS untuk bergera sebagai parti politik dan dakwah ditengah-tengah masyarakat.

 

“Pilihan raya hanya satu juzuk daripada aktiviti PAS, banyak lagi ruang yang PAS boleh bergerak walaupun di luar musim pilihan raya. PAS tidak akan menyerah kalah dan semput dada selagi PAS tidak meninggalkan Islam sebagai dasar.

 

“Banyak rungutan dan nada perli kepada PAS apabila melihat keputusan PRN Sarawak. Mereka ingat, PAS hanya parti pilihan raya. Kalah menang PAS di dalam pilihan raya bukan merupakan perkara asing kepada PAS,” kata Ustaz Idris dipetik daripada Harakahdaily.net.

 

Menurut Ustaz Idris lagi PAS sentiasa bangkit selepas siri-siri kekalahan kerana parti itu tidak hanya mengharapkan kemenangan sebaliknya perjuang itu ditunjangi fikrah perjuangan yang tulen.

 

“Pada tahun 1978 di dalam pilihan raya negeri Kelantan, PAS hanya mendapat dua kerusi setelah memerintah selama 18 tahun. Musuh-musuh PAS membuat andaian PAS akan berkubur. Alhamdulillah, pada 1990 PAS memerintah kembali Kelantan hingga kini.

 

“Begitu juga di Terengganu PAS pernah kalah di semua kerusi pada tahun 1978 setelah PAS dipecat daripada BN. Kebetulan Terengganu pula baru mendapat telaga minyak sehingga digelar Kuwait Malaysia.

 

Penganalisis politik menganggap PAS akan berkubur, tetapi alhamdulillah pada tahun 1999 PAS menang sehingga 2004, dan bangkit semula selepas kalah pada 2004 hingga kini,” tambah Ustaz Idris lagi.

 

Menurut Idris lagi PAS pasti sudah berkubur sekiranya parti itu hanya mengharapkan kemenangan politik semata-mata.

 

 

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*