PAS Selangor tidak akan menyertai program bersama Tun Dr Mahathir

Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor di dalam mesyuaratnya yang diadakan pada 10hb Mei lalu telah bersetuju sebulat suara bahawa PAS Selangor tidak akan bersama di dalam program yang melibatkan Tun Dr Mahathir di Stadium Malawati pada 14hb Mei ini.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Mohd Prasad bin Hanif berkata kepada Merahkuning bahawa Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor memutuskan agar Pesuruhjaya PAS Selangor tidak dibenarkan hadir dan ahli tidak dikerah ke program tersebut.

Mengulas lanjut, Prasad berkata PAS Selangor mengingatkan rakyat bahawa kebejatan dan kemudharatan yang berlaku pada hari ini terjadi kerana pemusatan kuasa kepada Perdana Menteri, hasil warisan daripada pentadbiran Tun Dr Mahathir.

“Agenda Tun Dr Mahathir adalah menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukannya pemulihan keseluruhan sistem dan keadaan negara. Tun Dr Mahathir, melalui kenyataan-kenyataannya, telah menegaskan bahawa beliau mahu UMNO kekal berkuasa,” tambah Prasad.

PAS Selangor percaya bahawa rakyat Malaysia prihatin dan faham akan keadaan negara. PAS Selangor juga yakin bahawa Malaysia dapat diselamatkan tanpa Tun Dr Mahathir.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*