RM5,000 untuk pangsapuri paling jimat air

Bagi menggalakkan orang ramai khususnya penduduk pangsapuri menyahut seruan Kerajaan Negeri menjimatkan air, sebuah Program Insentif bagi Pangsapuri Kos Rendah Sempena Kempen Jimat Air Selangor 2016 telah dilancarkan di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam hari ini.


Program insentif tersebut menawarkan hadiah utama sehingga RM5,000 bagi pangsapuri yang berjaya menurunkan kadar penggunaan air paling tinggi.

 

Majlis pelancaran program telah disempurnakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad.

 

Menurut Datuk Iskandar kerajaan negeri sentiasa peka dengan isu pembaziran air yang berlaku di negeri Selangor.

 

Tambah beliau, kempen itu bertujuan memberi kesedaran dan galakan masyarakat terutama penduduk di pangsapuri kos rendah supaya lebih peka dan mengambil bahagian menjimatkan air.

 

“Insentif ini dikaji lagi untuk ditambah nilainya. Dua kali ganda nilai daripada sekarang pun tidak mengapa,” kata beliau.

 

Pangsapuri yang mendapat penurunan peratusan tertinggi bakal menerima RM5,000 manakala kedua tertinggi mendapat RM3,500 diikuti RM2,500 di tempat ketiga manakala RM1,000 diberikan sebagai hadiah saguhati.

 

Terdahulu, beliau merasmikan Program Gotong-Royong Perdana di pangsapuri itu bertujuan mewujudkan persekitaran sihat penduduk.

 

Menurut beliau, persekitaran kotor itu berpunca sikap segelintir penduduk tidak bertanggungjawab membuang sampah menyebabkan persekitaran kotor dan mengundang jangkitan penyakit seperti denggi, malaria, kencing tikus dan sebagainya.

 

“Walaupun statistik menunjukkan penurunan jangkitan denggi di Selangor, kita perlu memberi perhatian serius memastikan ia dibanteras”, kata beliau.

 

Beliau berharap program itu memupuk sikap kerjasama masyarakat bukan hanya dalam isu keselematan tetapi juga soal kebersihan.

 

“Program ini harus dijadikan permulaan penduduk meneruskan program gotong-royong di masa akan datang,” kata beliau.

 

Hadir sama menjayakan program tersebut, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*