Pertembungan parti komponen kerajaan proses kematangan politik – Iskandar

SUNGAI BESAR – Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Iskandar Abdul Samad menyifatkan pertembungan antara parti sekutu dalam kerajaan pada pilihanraya kecil adalah proses kematangan politik dan tidak menimbulkan masalah kepada sebuah kerajaan kerana perkara yang sama turut berlaku di negara demokrasi lain.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pertembungan antara PAS menentang Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihanraya Kecil (PRK) P 039 Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun depan. Calon Amanah dilihat mendapat sokongan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun membentuk kerajaan negeri bersama PAS.

 

Menurut Dato’ Iskandar, pertembungan sebegini berlaku di negara seperti United Kingdom (UK) kerana kematangan politik.

 

“Di UK pernah terbentuk kerajaan campuran yang ada dua parti pada tahun 2005 hingga 2010 antara liberal demokratik dan konservatif.

 

“Mereka bertembung sebanyak 19 kali dalam pilihanraya kecil sepanjang membentuk kerajaan campuran.

 

“Jadi tidak ada masalah kalau kita benar-benar matang. Kerajaan terus berjalan walhal kita bertembung di peringkat PRK,” kata Dato’ Iskandar pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon di Markaz PAS Simpang Lima di sini, tengahari tadi.

 

Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hadir pada penamaan calon itu sebagai Menteri Besar Selangor.

 

“Saya melihat kehadiran beliau adalah sebagai Menteri Besar dan tuan rumah. Beliau berjumpa dengan semua parti termasuk PKR, BN, PAN dan juga PAS sendiri.

 

“Beliau turut menyatakan beliau hadir sebagai Menteri Besar,” tambah Dato’ Tuan Ibrahim.

 

Turut hadir pada sidang akhbar itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali serta Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

 

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan berjalan serentak pada 18 Jun depan manakala pengundian awal dijalankan pada 14 Jun.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*