Angka Menarik Yang Membuatkan Anda Risau Terlepas Ramadhan

Sempena bulan Ramadahan, kita ingin membongkarkan beberapa angka dan fakta menarik yang hanya berlaku pada bulan yang mulia ini. Tujuan pembongkaran ini ialah supaya kita sama-sama sedar akan keistimewaan dan kelebihan bulan ini berbanding bulan-bulan lain, sekaligus memotivasikan kita untuk memanfaatkannya.

 

Rakaat solat

Percaya atau tidak, sedar atau tidak, kita sebenarnya boleh usahakan bersolat sebanyak lebih 1000 rakaat hanya di dalam bulan Ramadhan sahaja. Bagaimana? Baik, mari kita kira bersama.

Di dalam sehari, kita telah bersolat sebanyak 17 rakaat untuk semua solat fardhu. Di dalam sehari juga, kita boleh solat sunat sebagaimana berikut:

– Solat sunat Rawatib sebanyak 10 rakaat (2 rakaat sebelum Subuh, 2 rakaat selepas Zohor, 2 rakaat sebelum Asar, 2 rakaat selepas Maghrib dan 2 rakaat selepas Isya’)

– Solat sunat Tarawih sebanyak 8 rakaat

– Solat sunat Witir sebanyak 3 rakaat

– Solat sunat Dhuha sebanyak 2 rakaat

– Solat sunat Tahajjud sebanyak 2 rakaat

Baiklah, sekarang mari kita jumlahkan semua rakaat tersebut:

17+10+8+3+2+2 = 42 rakaat sehari

Ramadhan ada 30 hari. Maka kita darabkan jumlah rakaat tadi dengan 30. Oleh itu, ianya seperti berikut:

42 rakaat x 30 = 1260 rakaat!

Angka itu belum ditambah dengan solat sunat seperti Taubat, Tasbih dan juga belum dikira jika kita solat Tarawih sebanyak 20 rakaat. Menakjubkan bukan?

Lailatul Qadar

Sebagaimana yang dimaklumi, pahala orang yang beribadah pada malam tersebut menyamai 1000 bulan yang juga sama dengan lebih kurang 83 tahun. Jangka hayat umur umat Nabi Muhammad SAW boleh dirujuk kepada rasul mereka sendiri iaitu sekitar 60-70 tahun. Jika dikira bermula dari umur baligh sehingga umur mati bagi seorang lelaki dari umat Nabi Muhammad SAW dan diandaikan beliau mendapat Lailatul Qadar setiap Ramadhan dalam tahun tersebut, pengiraannya seperti berikut:

Mula umur baligh lelaki = 15 tahun

Umur mati = 60 tahun

Jumlah masa yang diberi oleh Allah untuk beliau kumpul pahala ialah:

60 tahun – 15 tahun = 45 tahun

Sekiranya beliau mendapat Lailatul Qadar setiap Ramadhan dalam setiap tahun, jumlah pahala yang beliau akan dapat ialah seperti berikut:

1000 bulan = 83 tahun

83 tahun x 45 tahun = 3735 tahun

Angka di atas menunjukkan bahawa, beliau akan memperolehi pahala sama seperti orang yang beribadah selama 3735 tahun!

Motivasi Ke Arah Memaknakan Aidilfitri

Melalui pendedahan angka-angka itu, didoakan ia menjadi penguat kepada kita semua untuk beribadah dengan sebaiknya di bulan Ramadhan. Mudah-mudahan bila tiba hari raya Aidilfitri nanti, kita benar-benar mengecapi kebahagiaan dan ketenangan setelah berjaya melawan hawa nafsu sebulan di bulan Ramadhan, lantas menjadikan kita hamba yang istiqamah mentaati Allah untuk bulan-bulan seterusnya. Jangan lepaskan peluang ini!

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*