Pelajar Malaysia di Russia kongsi pengalaman berpuasa 20 jam

Tidak ramai daripada kita pernah merasai pengalaman berpuasa di luar negara. Di Malaysia kita berpuasa sekitar 14 jam sehari. Sampai waktu berbuka terdapat berpuluh-puluh bazar ramadhan dengan pilihan jaudah yang menyelerakan. Ramadhan seperti bulan pesta makanan di Malaysia.

 

Namun tidak ramai di kalangan kita yang pernah merasai pengalaman berpuasa di luar negara. Waktu berpuasa sudah tentu berbeza dengan suasana juga amat berlainan menjadikan pengalaman itu unik. Seorang pelajar Malaysia dalam bidang perubatan berkongsi pengalaman beliau berpuasa 20 jam di Russia. Shakira Nazihah Sema’onsha menulis kepada MerahKuning.com pengalaman beliau untuk dikongsikan bersama para pembaca.

*****

Tahun ni, kali kedua saya beraya di perantauan. Pertama kali dulu di Singapura tapi tak terasa sangat di perantauan sebab environment macam di Malaysia dan saya menumpang pula di rumah sahabat. Berbuka sama saja seperti dengan keluarga. Saya ingat lagi abang kepada sahabat saya bertanya berapa lama waktu berpuasa di Moscow dan mereka terkejut apabila saya menjawab 20 jam.

 

Tahun ini, saya dapat merasa berpuasa di Moscow yang terletak di Russia. Kali kedua saya berpuasa di perantauan. Atas kekangan pelajaran dan final exam, tak mampulah kami sebagai pelajar ni nak balik awal sambut Ramadhan di Malaysia.

 

So far, sudah seminggu saya berpuasa di Moscow. Alhamdulillah tiada raungan dan rengekan akibat terlalu lapar. Tiada masa nak fikir pun rasanya. Subuh pukul 2 pagi. Lepas solat subuh, tidur balik. Bangun dalam 6 atau 7 pagi, 5 jam dah berlalu. Lepas tu, terlalu sibuk dengan pelajaran. Sibuk mengejar cikgu untuk buat colloq (test) dan zachut (credit), tiba-tiba dah nak dekat waktu berbuka puasa.

 

Tipulah kalau kata tak penat, fakulti saya berbeza line metro. Nak pergi kelas Biochemistry? Naiklah dari line merah ke ungu. Dah sampai, kena jalan pula. Penat tapi sekejap je.

 


Walaupun sekarang ni summer, tapi tak terasa panasnya. Pelik juga kami. Biasanya bulan begini habis sudah berlecak ketiak kami akibat terlalu panas. Tapi tahun ini Allah mudahkan urusan kami apabila berpuasa. Suhu pun enam darjah celcius. Bonusnya juga, tiadalah orang berbikini dan berseluar pendek dan ketat pada suhu yang rendah ni. Terjaga iman kami.

 

Shakira (tudung biru) bersama kawannya di Moscow

 

Hari pertama hari tu, timeline FB saya ada orang yang tak tahan dengan mak cik yang makan depan dia. Kami di sini tiap-tiap hari lalu di hadapan kafe. Terbau aroma kopi dan sandwich tapi kami tiada masalah sampai nak post di Twitter dan Facebook.

 

Walaupun agama Islam adalah agama kedua terbesar di Rusia, tak semua orang Rusia ni faham apa makna berpuasa. Islam tu apa pun ada yang tak tahu. Ada orang yang sibuk makan french fries di hadapan kami pun kami tak kisah, padahal dah 15 jam berpuasa masa tu tau! Jadi, sabar-sabarkanlah iman. Kita berpuasa bukannya setakat menahan lapar dan dahaga untuk beraya nanti. But for our spiritual detox also. Untuk mendidik iman kita dan perbetulkan akhlak kita yang masih lompong tu.

 

Tahun ini juga pertama kali saya serumah dengan mereka yang non-Muslim dari Malaysia. Seronok juga rasanya. Tak sempat nak berasa riak dengan ibadah yang dibuat. Mereka cuma faham yang kita tak boleh makan dan minum sepanjang berpuasa tapi mereka tak tahu apa fadhilat selebihnya. Malah saya juga dihujani dengan soalan tentang agama Islam sendiri. Tak pasal-pasal dapat ilmu baru. Bukan senang nak jawab dengan mereka yang tak tahu. Kena guna bahasa mudah supaya mereka faham.

 

Tak kira di mana anda berada dan berapa jam anda berpuasa, saya ucapkan selamat berpuasa pada seluruh Muslim di dunia.#

 

Shakira Nazihah merupakan anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur kini mengikuti pengajian tahun kedua di IM Sechenov First Moscow State Medical University. Merahkuning.com mengucapkan terima kasih kepada Shakira atas perkongsian ini. Selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Semoga ramadhan tahun ini lebih bermakna.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*