Kes Banglo KM Pulau Pinang: Lim Guan Eng, Phang Li Khoon didakwa hari ini, PAS ambil sikap tidak menuduh sebelum terbukti bersalah

 

 

 

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Khoon akan di dakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di sini hari ini.

 

Kedua-dua mereka ditahan SPRM semalam berhubung isu pembelian banglo RM2.8 jutaoleh Lim di Jalan Pinhorn yang dikatakan berada di bawah harga pasaran hartanah kawasan itu.

 

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dijadual mengetuai barisan pendakwaan.

 

SPRM dalam kenyataan semalam berkata pendakwaan terhadap Lim dan Phang dijadual pada pukul 10 pagi.

 

Sementara itu, polis menjalankan kawalan ketat di kawasan mahkamah bagi memastikan kelancaran proses pendakwaan hari ini.

 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata beberapa jalan utama ke mahkamah ditutup dan hanya peguam bela, keluarga dan kenalan rapat Lim dan Phang dibenarkan berada di kawasan mahkamah.

 

“Penyokong dan mereka yang tidak berkaitan tidak dibenarkan berada dalam kawasan mahkamah atas faktor keselamatan. Polis akan mengambil tindakan jika ada yang engkar dengan arahan polis,” katanya ketika dihubungi.

 

Lim sebelum ini disiasat SPRM berhubung pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn di sini dengan harga RM2.8 juta daripada Phang dan dikatakan di bawah harga pasaran.

 

Pada Mei lepas, Lim dan isterinya Betty Chew memberi keterangan di pejabat SPRM berhubung siasatan pembelian banglo itu dan penjualan tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini bagi membina rumah mampu milik kepada sebuah syarikat swasta.

 

Isu pembelian banglo dan penjualan tanah di Taman Manggis itu dibangkitkan Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya pada persidangan Dewan Rakyat pada Mac lepas.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata parti Islam itu mengambil pendekatan untuk tidak menuduh sebelum Lim terbukti bersalah oleh keputusan mahkamah.

 

Justeru, beliau berkata PAS menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan pendakwaan dan mahkamah untuk membuat keputusan.

 

“Tidak banyak yang ingin saya katakan cuma kita masih kekal dengan prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi belum dibuktikan bersalah.

 

“Kita asyik bercakap berkenaan rasuah dan penyelewengan, jadi kita serahkan kepada SPRM sebagai badan pendakwaan dan pihak mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya ketika dipetik daripada laporan portal Astro AWANI.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*