Kudeta Turki dan Erdogan dari kaca mata rakyat Malaysia di Turki

16 Julai lalu dunia dikejutkan dengan berita cubaan menggulingkan kerajaaan oleh sebahagian tentera Turki untuk menjatuhkan pentadbiran Presiden Recep Tayyip Erdogan namun dipatahkan oleh rakyat Turki sendiri. Merahkuning.com cuba mendapatkan perkongsian pengalaman daripada rakyat Malaysia yang turut merasai peristiwa hitam itu. Artikel ini dikongsikan pelajar Malaysia di Turki, Khairul Akmal Radin Ismail, 27 tahun yang melihat sendiri peristiwa itu.

Umum mengetahui pada 16 Julai lalu satu cubaan menggulingkan kerajaan Turki pimpinan Presiden Recep Yayyip Erdogan oleh sebahagian kecil tentera yang tidak menyokong pentadbiran AK Parti yang memenangi pilihanraya Turki. Ramai mengatakan Fethullah Gulen dalang disebalik rancangan ini, namun beliau menafikan tuduhan itu. Gulen bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan cubaan itu dilakukan kumpulan Gulenist, gelaran popular kepada pengikut ahli politik Turki itu yang kini berpengkalan di Pennsylvania, Amerika Syarikat bi bawah suaka politik.

 

Pada malam tersebut, kira-kira jam 10.30 malam, saya dimaklumkan rakan, seorang jurnalis beragama Islam dari Amerika yang juga rakan serumah bahawa jambatan yang menghubungkan Turki eropah dan asia melalui selat Bosporus telah ditutup oleh tentera. Pengangkutan awam dihentikan operasi, orang dipaksa turun berjalan kaki, lapangan terbang Ataturk turut dilumpuhkan, semua penerbangan dibatalkan, ramai terkandas di sana.

 

Selang beberapa ketika, saya dapati banyak helikopter berlegar diruang udara. Siren polis dan hon kereta bersahutan tidak henti-henti. Kemudian kedengaran pula bunyi tembakan yang kuat bertalu-talu dari rumah saya, bererti ia berlaku berdekatan sahaja. Keadaan yang tenang sebelum itu bertukar menjadi cemas. Perasaan saya bercampur, terkejut dengan apa yang sedang berlaku dalam masa sama timbul rasa ingin tahu.

 

 

Tanpa berfikir panjang, saya terus keluar rumah. Ternyata suasana diluar agak mencemaskan. Orang ramai berlari-lari, mungkin mahu pulang ke rumah untuk berlindung. Di kedai-kedai orang ramai sibuk membeli barang keperluan seperti roti, air, dan bermacam lagi, mungkin mereka sudah menjangkakan keadaan ini akan menyebabkan kedai-kedai tidak akan dibuka keesokan hari. Ini bukan kudeta pertama. Pada tahun 1960, 1971, 1980, dan kali terakhir 1997. Rakyat sudah mengerti bagaimana kehidupan di bawah pemerintahan tentera.

 

Apabila keluar ke jalan raya utama, suasana yang selalu sibuk menjadi lengang, dan kelihatan ramai berlari-lari ke sana-sini. Ada yang menggunakan telefon bimbit, mungkin untuk memberitahu ahli keluarga supaya segera pulang ke rumah. Saya terus berjalan menuju ke rumah pelajar Malaysia yang jaraknya 10 minit berjalan kaki. Ingin mengetahui keadaan mereka di sana. Alhamdulillah semua selamat, tiada yang terkandas di mana-mana tempat rusuhan. Kecuali ada beberapa orang yang terkandas dalam tren, kemudian terpaksa pulang berjalan kaki.

 

Kemudian saya mendapat berita daripada salah seorang rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Turki, juga tinggal berdekatan rumah saya bahawa kawasan rumahnya sudah bertukar menjadi seolah suasana ‘pre-war’. Kereta-kereta kebal berada di atas jalan raya. Polis(pihak kerajaan) berbalas tembakan dengan tentera.

 

 

Malah ada juga tentera berlawan sesama tentera, kerana hanya segelintir sahaja tentera yang tidak sekepala dengan Erdogan, selebihnya menyokong beliau. Rakyat yang berarak juga turut serta melawan kemaraan tentera. Mereka berbaring di atas jalan menghalang kereta kebal, malah ada yang memanjatnya dan memaksa askar keluar dari kereta kebal. Lebih memeranjatkan, ramai tentera ini ditangkap oleh orang ramai, kerana ada dalam kalangan mereka melepaskan tembakan ke arah orang awam yang berarak.

 

Sebelum itu, saya dapat tahu presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah membuat rakaman video melalui iPhone beliau menggunakan aplikasi ‘FaceTime’. Pada masa ini, tentera sudah mengambil alih stesen TV rasmi kerajaan. Mujurlah, jaringan internet masih ada, peluang ini digunakan oleh Erdogan sebaiknya. Dalam video tersebut, beliau menyeru rakyat Turki yang menyokong beliau untuk keluar ke jalanan membantah cubaan menggulingkan kerajaan.

 

Setelah video tersebut tersebar keseluruh Turki dalam masa yang sangat singkat, rakyat berbondong-bondong hatta lelaki mahupun perempuan berarak sambil melaungkan ‘Ya Allah, Bismillah, Allahuakbar’ diselangi laungan nama Erdogan. Masjid-masjid juga melaungkan azan dan selawat berulang-ulang. Fasa inilah banyak kematian yang berlaku. Sesuatu yang agak pelik jika difikirkan, rakyat berperang dengan tentera mereka sendiri.

 

Kebijaksaan Erdogan.

Saya berpandangan, inilah kebijakan Erdogan, membuat keputusan penting dalam masa yang singkat dan bertindak pantas dalam situasi kritikal dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi yang ada. Teknologi ini menjadi ‘senjata’ yang menggagalkan rampasan kuasa oleh tentera. Jika tidak, sudah tentu hari ini Turki sekali lagi akan berada di bawah pemerintahan tentera yang memeritkan.

 

Lebih kurang jam 5.30 pagi, Erdogan mengumumkan bahawa rampasan kuasa oleh tentera gagal. Berita ini disambut dengan penuh emosi dan gembira oleh rakyat Turki. Mereka meraikan kemenangan ini dengan sesungguh hati.

 

Selepas kemenangan itu, kerajaan Turki menghadiahkan rakyatnya pengangkutan awam secara percuma selama dua hari beturut-turut, dengan ini sambutan kemenangan menjadi lebih meriah, orang ramai keluar sekali lagi berarak di jalanan sambil mengibarkan bendera negara mereka, kenderaan bergerak sambil membunyikan hon, di rumah mereka memasang bendera Turki.

 

Di Taksim Square dan Istiklal Street saya melihat sendiri kemeriahan sambutan kemenangan ini. Laungan takbir diiringi paluan gendang dengan muzik Merter(muzik pancaragam tentera ketika zaman Khilafah Uthmaniyyah) tidak putus-putus. Lagu semasa kempen pilihan raya Erdogan juga dipasang dan dinyanyikan orang ramai berulang-ulang.

 

Sekali lagi, saya melihat kebijakan Erdogan di sini. Ia seperti strategi ‘serampang tiga mata’, dengan menghadiahkan pengangkutan awam percuma. Pertama, lebih ramai rakyat akan keluar menyambut kemenangan menzahirkan sokongan kepada beliau. Kedua, juga sebagai tanda terima kasih beliau kepada rakyat justeru meningkatkan lagi populariti beliau. Ketiga, natijah dari situasi ini semestinya akan ‘demoralized’ musuh-musuh beliau.

 

Sedikit pengalaman dan pandangan dari saya yang berkesempatan untuk merasai sendiri suasana sebelum, semasa dan selepas coupe d’etat yang berjaya digagalkan. Tiada siapa tahu bagaimana masa depan Negara ini nanti, cuma saya mendoakan semoga tanah khilafah uthmaniyyah ini akan bangkit semula membina kegemilangan Islam. Apa yang pasti, natijah dari peristiwa ini, Erdogan akan lebih berkuasa dan popular. Beliau telah membuktikan rakyat Turki bersama beliau dan menolak kudeta oleh tentera.

 

Khairul Akmal turut berkongsi video suasana rakyat turkey yang menyambut kejayaan di laman sosial Facebook beliau yang boleh ikuti di sini.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*