Remaja dan media sosial

Kewujudan peranti seperti telefon pintar dan tablet serta promosi agresif syarikat telekomunikasi tentang pakej internet telah menyebabkan penggunaan media sosial seperti Facebook, YouTube, WhatsApp dan Twitter semakin meluas. Menurut kajian penggunaan internet di Malaysia pada tahun 2012, sebanyak 87.9% daripada pengguna Malaysia mengakses Facebook dan 67% pengguna Malaysia menonton video Youtube.

 

Dalam laporan United Nations, International Telecommunication Union (ITU), Malaysia mencatat kadar keempat tertinggi mempunyai digital naltives di dunia. Digital naltives ditakrifkan dalam laporan tersebut sebagai belia berumur 15-24 tahun yang menggunakan internet secara aktif sekurang-kurangnya selama 5 tahun. Kajian itu menunjukkan 3.9 juta rakyat Malaysia sebagai digital naltives yang menyumbang hampir tiga suku daripada belia dan remaja dalam Malaysia.

 

Tidak hairanlah wujudnya budaya popular dalam masyarakat kita hari ini iaitu ‘selfie’ yang telah mencetuskan fenomena baru tarikan remaja iaitu mengambil gambar secara berseorangan lalu dimuatnaik dalam media sosial untuk menjadi tatapan orang ramai. Melalui pemerhatian ini,kita dapat membongkarkan satu isu di dalam negara kita bahawa penggunaan media sosial yang berlebih-lebihan melibatkan remaja dan anak muda kini berada di tahap yang serius dan membimbangkan!

 

Kenapa membimbangkan? Hal ini kerana ia telah menyebabkan wujudnya gaya hidup remaja yang suka bersendirian dan tidak banyak melibatkan diri dengan aktiviti keluarga dan masyarakat. Mereka teruja memeriksa telefon bimbit dari semasa ke semasa kerana tidak mahu terlepas apa-apa ‘status’ dari Facebook dan Instagram atau mesej dari WhatsApp yang dihantar oleh kawan-kawan. Keterujaan ini membuatkan mereka tidak senang dan gelisah sekiranya tidak ada telefon bimbit bersama-sama mereka. Ini membuatkan kita terfikir, adakah ini satu bentuk penyakit baru iaitu ‘ketagihan’ di kalangan remaja?

 

Jika ya, maka di sini kita kongsikan tips buat para remaja untuk mengelakkan ketagihan di dalam penggunaan media sosial.

Tips Elak Ketagihan Menggunakan Media Sosial

 

1 – Disiplinkan diri dengan menetapkan waktu dan tempoh tertentu di dalam sehari untuk melayari media sosial. Contohnya pada waktu petang dari pukul 3 hingga pukul 4 sahaja.

 

2 – Tidak membawa telefon pintar ketika beraktiviti bersama keluarga contohnya ketika di meja makan dan ketika ke mana-mana majlis yang melibatkan sanak saudara.

 

3 – Banyakkan menghadiri majlis ilmu seperti kuliah di masjid, wacana, debat dan lain-lain.

 

4 – Menyertai program-program sukarelawan atau melibatkan diri sebagai ahli jawatankuasa apa sahaja program yang bermanfaat baik di tempat pengajian mahupun di kampung kita.

 

5 – Menjadi satu kelebihan sekiranya dapat menyertai usrah atau grup diskusi yang diwajibkan secara berkala contohnya seminggu sekali. Ia telah secara tidak langsung mengurangkan masa kita dengan media sosial.

 

6 – Menyedarkan diri sendiri bahawa ada kemungkinan orang-orang terdekat dengan kita contohnya ibu bapa, adik beradik atau sahabat karib akan terasa hati dengan kita sekiranya perhatian kita terhadap mereka semakin berkurangan.

 

7 – Meminta bantuan daripada orang yang kita percayai contohnya ibu bapa, sahabat karib atau kaunselor di institusi pengajian untuk menegur dan memberi perhatian khusus kepada kita sekiranya didapati ada perilaku kita yang kurang menyenangkan.

 

8 – Manampal mini stiker kreatif seperti ‘Allah Maha Melihat’ atau ‘Anda Dah Solat?’ di telefon pintar atau tablet kita. Ia membantu mengingatkan kita supaya tidak asyik dan lagha.

 

Mudah-mudahan tips di atas dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi remaja yang sedang menghadapi masalah ketagihan menggunakan media sosial. Renung-renungkan dan selamat beramal!

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*