Iktibar daripada peristiwa di Turki

Selepas kejatuhan kerajaan Dr Mohamed Morsi, kerajaan pilihan rakyat di Mesir beberapa tahun lalu kita nyaris menyaksikan sebuah lagi kerajaan pilihan rakyat dijatuhkan oleh kuasa tentera, kini di Turki pula.

 

Mujurlah rampasan kuasa berkenaan gagal hasil dari kebangkitan rakyat dan keengganan pihak polis serta sebahagian besar pimpinan tentera Turki yang lain untuk menyokong “coup de tat” haram berkenaan.

 

Malah keseluruhan parti-parti politik di Turki termasuklah yang bertentangan dengan parti AKP pimpinan Recep Tayyip Erdogan telah bangkit mengenepikan perbezaan politik mereka dan mempertahankan demokrasi di Turki serta enggan menyokong rampasan kuasa berkenaan.

 

Jika rampasan kuasa berkenaan berjaya sebagaimana di Mesir, sudah pastilah ianya mencabul proses demokrasi yang didukung oleh rakyat. Kuasa rakyat untuk memilih dan menentukan nasib serta hala tuju mereka dan negara akan dirampas oleh kuasa tentera yang tidak sama sekali mencerminkan kehendak dan suara rakyat.

Jatuhlah demokrasi dan bangkitlah autokrasi iaitu pemerintahan yang bersandarkan satu kelompok kuasa atau indidividu yang sama sekali tidak merujuk pada kemahuan dan kehendak rakyat.

Kesungguhan rakyat Turki bangkit mempertahankan “status quo” dan kedaulatan mereka sewajarnya menjadi contoh kepada semua pihak termasuklah kita di Malaysia. Jika kita menghargai kedaulatan negara dan kita menjunjung sistem demokrasi dan perwakilan suara dan kuasa melalui proses pilihanraya maka kita perlu sentiasa dilihat menghargai, berwaspada dan mempertahankannya.

 

Kita tidak boleh menjadi juara demokrasi tetapi dalam waktu dan ketika yang sama apabila proses demokrasi itu menewaskan kehendak kita maka kita pula tentang atau cuba cabuli ia.

 

Ini samalah seumpama merampas kuasa di Mesir dan cubaannya di Turki, bezanya ia bukan melalui kuasa tentera tetapi melalui anasir yang terima demokrasi itu separuh-separuh.

 

Apabila demokrasi itu memenangkan kehendak ia, ia sokong tetapi apabila majoriti mengatasi suaranya, ia protes dan tentang.

 

Sesungguhnya kita di Malaysia sedang diuji dengan perkara ini dan jika benar kita sayang kepada negara ini dan sistem yang kita amalkan maka kita juga perlu mempertahankannya.

 

Rang Undang-undang Persendirian yang mahu meminda Akta 355 yang dibawa oleh wakil Marang Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang ke Dewan Rakyat baru-baru ini bagi saya adalah satu ujian sejauh manakah kita benar-benar demokratik dalam pegangan dan amalan kita.

 

Inisiatif yang diambil oleh Tuan Guru Presiden PAS adalah satu proses yang menepati peraturan dan perundangan negara. Mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dengan maksud memperkasakan Mahkamah Syariah dalam negara juga adalah satu proses yang menepati peraturan dan perundangan negara.

 

Ianya tidak dilakukan melalui “pintu belakang”. Ianya tidak mengenepikan sebarang amalan demokrasi atau undang-undang terpakai dalam negara malah ianya mematuhi semua peruntukkan dan peraturan yang ada.

 

Prosesnya tidak berhenti di situ, ianya kan dibentang, dibahaskan kemudian diundi dan jika lulus dibawa pula ke Dewan Negara melalui proses yang sama bermakna banyak lagi proses perundangan yang perlu dilalui sehingga RUU tadi boleh menjadi undang-undang.

 

Samada ianya nanti akan menjadi undang-undang atau tidak, tertakluk kepada proses yang ada.

 

Soalnya kenapa terdapat pihak yang bersungguh-sungguh mahu menentang inisiatif dan usaha yang selaras dengan amalan demokrasi ini? Malahan RUU itu sendiri sesungguhnya telah ditegaskan adalah berkaitan proses perundangan dalam Mahkamah Syariah yang bidangkuasanya berkaitan hanya dengan rakyat Malaysia yang beragama Islam sahaja, tetapi mengapa terutamanya parti-parti politik dan wakil-wakil rakyat yang bukan Islam yang paling ramai menentangnya?

 

Dan penentangan pula dilakukan sebelum pun RUU itu dibentang dan dibahaskan. Mengapa perlu mendahului proses perundangan yang sama-sama kita bina, iktiraf dan pertahankan selama ini?

 

Jika pun ada mana-mana ahli parlimen dari mana-mana parti sekalipun yang mahu menentang RUU ini atas apa sebab sekalipun, ianya sepatutnya dilakukan di dalam Dewan dan bukannya dengan melakukan protes besar-besaran di luar. Tidakkah itu menganggu gugat kestabilan dan kedaulatan negara sedang kita kononnya dibentuk menjadi rakyat yang patriotik.

 

Selain daripada itu kita menyelar dan mencemuh rampasan kuasa di Mesir dan cubannya di Turki baru-baru ini namun kita sendiri sesungguhnya tidak sensitif dan tidak mempamerkan kematangan sebagai seorang rakyat dalam negara yang berdaulat ini.

 

Malaysia adalah sebuah negara demokratik yang berbilang kaum dan agama dengan Islam sebagai agama rasminya. Ia punya sempadan dan wilayah yang berdaulat yang sama-sama kita pertahankan.

 

Kita tidak sanggup melihat walau seinci pun bumi kita diserahkan kepada orang lain apatah lagi dijajah. Kerana itu apabila Mahkamah Antarabangsa satu ketika dahulu memutuskan yang Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh yang terletak di sempadan perairan Malaysia-Singapura menjadi hak Republik Singapura, seluruh rakyat Malaysia bangkit kesal dengan keputusannya namun kita terima kerana mengiktiraf undang-undang antarabangsa tetapi dengan hati yang sangat sugul.

 

Tetapi baru-baru ini apabila isu Kepulaun Spratlys iaitu kepulauan terumbu karang di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian antara negara-negara di rantau ini termasuklah Komunis China, Filipina, Taiwan, Indonesia dan lain-lain termasuk Malaysia, terdapat seorang pemimpin dari DAP (yang kini telah pun keluar dari parti bekenaan akbat isu ini) dengan lantang menyatakan bahawa kepulauan berkenaan adalah milik Komunis China.

 

Jika beliau orang kebanyakkan barangkali pendiriannya tidak menjadi isu, tetapi beliau seorang pemimpin parti politik, sewajarnya beliau dan partinya sensitif dan dalam hal kedaulatan negara bersama rakyat Malaysia mempertahankannya, apa beza beliau dengan regim tentera Mesir dan yang cuba gulingkan Erdogan di Turki?

 

Begitu juga dalam hal mempertahankan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara tercinta kita ini. Seorang lagi pemimpin dari parti bekenaan baru-baru ini dalam FB nya memuat naik ucapan selamat Hari Raya dengan berlatarbelakangkan bendera dan cogan kata Amerika Syarikat “In God We Trust” selain ungkapan agama lain dalam ucapannya itu. Beliau juga memuat naik kartun yang mendakwa pemberian duit Raya sebagai kononnya “dedak”.

 

Mengapa seorang ahli Parlimen dan peguam boleh tidak langsung menghormati adat dan budaya serta kosong sensitivitinya terhadap perhubungan kaum dalam negara?

 

Inilah perkara-perkara yang perlu kita tangani dalam kita mempelajari episod yang berlaku di Turki yang gagal itu dan sebelumnya di Mesir. Semoga Malaysia tercinta bebas dan terpelihara dari apa-apa jenis ancamana seumpama itu.

 

Artikel ini dipetik daripada tulisan Tuan Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir yang dinaikkan di Harakah.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*