Geopolitik Turki Selepas Cubaan Kudeta

Selepas berakhir cubaan rampasan kuasa di Turki minggu lalu, muncul perbincangan tentang kemungkinan haluan baharu dasar luar Turki, daripada cenderung ke Barat (Eropah dan Amerika Syarikat) kepada blok Rusia-China di sebelah timur.

 

Ekoran kritikan pegawai kerajaan Turki secara terbuka terhadap Washington dan, paling jelas dan secara besar-besaran, tindakan terhadap gerakan Gulen dan tuntutan supaya Fethullah Gulen ditangkap dan dibawa ke Turki, Turki di bawah Presiden Recep Tayyip Erdogan kelihatan bersedia untuk memutuskan hubungan dengan AS dan Eropah.

 

Kecenderungan Ankara terhadap Rusia, Iran dan China – negara-negara yang dianggap paling berpengaruh di sebelah timur Turki – sebenarnya telah ditunjukkan sejak beberapa tahun lalu. Turki memohon untuk menjadi rakan dialog Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang ditunjangi China dan Rusia pada 2011, dan diterima pada sidang kemuncak beberapa bulan selepas itu, pada Jun 2012 di China.

 

Pada masa itu, Erdogan sebagai perdana menteri mengemukakan retorik-retorik mengangkat SCO dan mengkritik Kesatuan Eropah (EU) yang jelas kelihatan sukar menerima Turki sebagai ahli walaupun perbincangan kemasukan telah bermula sejak 2005. Tindakan Erdogan itu dilihat sebagai satu tawar-menawar dengan EU, dan pada masa sama sebagai pelaksanaan strategi dasar luar yang dibawa oleh Menteri Luar Ahmet Davutoglu, yang menganjurkan pembinaan hubungan baik dengan pelbagai pihak.

 

Pada masa itu, muncul dakwaan yang Turki telah mula beralih kiblat ke timur, selepas kecewa dengan EU yang sukar untuk menerima negara majoriti Muslim berpopulasi 75 juta itu menjadi anggota EU. Penerimaan Turki sebagai rakan dialog SCO itu amat penting kerana Turki muncul sebagai negara anggota Nato pertama membina hubungan formal dengan SCO, pakatan yang kemunculan dan pengukuhannya dibimbangi oleh Barat.

 

Walau bagaimanapun, Turki kekal sebagai sekutu kuat AS dan anggota penting Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang menduduki sempadan antara Eropah dengan dunia Islam di Asia Barat. Pembinaan hubungan dengan SCO itu lebih kepada pelaksanaan strategi membina hubungan dengan blok China-Rusia, dan juga dengan negara-negara rumpun bangsa Turki di Asia Tengah, yang pernah menjadi sasaran model demokrasi dan sekularisme Turki selepas kejatuhan Kesatuan Soviet.

 

Kemudian, ekoran tercetus kebangkitan Arab dan konflik di Syria, Turki terus menunjukkan peranannya sebagai sekutu penting AS dan Eropah, apabila menjadi pemain penting dalam usaha menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad melalui bantuan kepada kumpulan-kumpulan penentang bersenjata. Sejak tercetus kebangkitan yang digelar “Arab spring” itu juga, model demokrasi liberal dan sekularisme yang dilaksana oleh Turki diangkat sebagai satu contoh kepada negara-negara yang baru membebaskan diri daripada pemerintahan diktator, terutama Mesir dan Tunisia.

 

Sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini, Turki menunjukkan peranan sebagai sekutu rapat Barat, dan perselisihan dengan Rusia menampakkan lagi sikap Ankara, terutama selepas insiden jet pejuang Rusia ditembak jatuh oleh tentera udara Turki.

 

Tetapi tempoh lima tahun kebelakangan ini juga akhirnya menampakkan kekecewaan Turki terhadap Washington dan Brussels yang didakwa tidak membantu dalam usaha menangani usaha perubahan rejim di Syria dengan lebih berkesan dan menangani  masalah pelarian Syria yang menelan kos besar kepada Turki.

 

Pelbagai masalah yang menimpa Turki, termasuk hubungan dengan Moscow yang terjejas, akhirnya mendorong perubahan-perubahan drastik yang dilaksanakan kebelakangan ini.

 

Turki akhirnya mencapai perjanjian memulihkan sepenuhnya hubungan diplomatik dengan negara Zionis, merapatkan hubungan dengan Arab Saudi (yang berseberangan pendapat dengan Turki melibatkan kebangkitan Arab) dan meminta maaf kepada Rusia berhubung insiden jet pejuangnya ditembak.

 

Kemudian, kejadian cubaan rampasan kuasa memberi lebih alasan kepada Turki untuk lebih merapatkan diri dengan Rusia dan China, sebagai satu reaksi terhadap sikap Barat berhubung konflik Syria terutamanya, satu isu dasar luar yang telah mendatangkan pengaruh besar terhadap kedudukan Turki pada hari ini.

 

Akibat konflik Syria, yang Turki mengharapkan satu ganjaran geopolitik yang besar, iaitu meluaskan pengaruhnya ke Syam melalui hubungan dengan pihak yang disokong untuk menggantikan rejim Assad, Ankara akhirnya berdepan satu krisis yang parah.

 

Akibat konflik Syria, Turki terpaksa menanggung kos krisis kemanusiaan pelarian, hubungan dengan negara-negara jiran yang terus merosot, dan kesan-kesan daripada peningkatan pengaruh pelbagai kumpulan Kurdi yang dibantu kuasa asing.

 

Politik dalam negara turut menampakkan kesan apabila Erdogan dan AKP menyaksikan populariti yang semakin merosot, yang paling jelas dilihat melalui pilihan raya umum yang lalu.

 

Usaha “pembersihan” yang dilakukan oleh Presiden Erdogan berkait bukan sahaja dengan pengukuhan kuasanya, tetapi turut berkait dengan pilihan dasar luar Turki. Hubungan yang lebih rapat dengan Rusia dan Iran (dan juga China) bakal menyebabkan kerugian geopolitik kepada Barat, tetapi hanya jika pilihan ini disertai dengan tindakan-tindakan lain yang mengukuhkan hubungan ini dan pada masa sama mengorbankan kepentingan Barat.

 

Ekoran rampasan kuasa, tindakan tangkapan, pemecatan dan sebagainya yang dilakukan pemerintah telah mengundang kritikan Barat. Setiausaha Negara AS John Kerry telah pun memberi amaran kepada Turki, dan mengaitkan tindakan tidak demokratik itu dengan keanggotaan Turki dalam Nato.

 

Sekiranya Turki memulihkan hubungan dengan Rusia dan Iran dan pada masa sama merugikan Barat, Ankara mampu memperolehi satu kuasa tawar-menawar yang lebih besar dalam hubungannya dengan Barat, tetapi dengan kos yang masih tidak dapat dipastikan sebesar mana.

 

Hubungan lebih baik dengan Rusia, sebuah kuasa gas yang menjadi pembekal penting gas kepada Eropah boleh menguntungkan Turki yang boleh berperanan sebagai hab bekalan gas ke Eropah dan pengguna gas. Hal ini berpotensi meletakkan Turki dalam posisi menguntungkan dalam geopolitik gas Rusia-Turki-Eropah.

 

Faktor bekalan gas ini juga menjadi salah satu yang dipertimbangkan dalam memulihkan hubungan dengan pihak Zionis, yang sedang membangunkan sumber gas di kawasan lautnya. Gas ini juga bakal melalui Turki untuk dibekalkan ke pasaran Eropah.

 

Turki juga mempunyai hubungan ekonomi dan perdagangan yang rapat dengan Rusia, termasuk melibatkan industri pelancongan yang menjana pendapatan di kawasan-kawasan industri pelancongan seperti Istanbul. Hal ekonomi ini juga berkait rapat dengan populariti di dalam negara bagi pemerintah.

 

Hubungan dengan Iran akan berkait dengan kepentingan serantau yang berpotensi dicari penyelesaian bagi mengurangkan kos yang semakin meningkat kepada Turki, melibatkan konflik di Syria. Satu bentuk kerjasama dengan Iran juga berupaya membantu Turki melibatkan hal lain termasuk politik serantau dan dunia Islam.

 

Perubahan yang dijangka ini ialah sebahagian proses rundingan Turki dengan kuasa-kuasa yang berkepentingan, dan sukar untuk menjadi satu pilihan hitam-putih, kerana kepentingan yang pelbagai yang perlu diimbangi.

 

Walaupun pemulihan hubungan dengan Rusia dan Iran mendapat perhatian ramai pada masa ini, Ankara juga telah memulihkan hubungan dengan Arab Saudi, negara Zionis dan sedang memulihkan hubungan dengan Mesir.

 

Apapun yang berlaku selepas ini, Turki terpaksa melalui satu jalan yang sukar untuk mengimbangi kuasa-kuasa yang berhubungan dengannya, tetapi pada masa sama berpotensi menemui satu jalan yang membawa kepada satu pilihan yang lebih menguntungkan negaranya, melalui satu dasar luar baharu yang lebih realistik.

 

Oleh: Haris Zalkapli

http://ulamasedunia.org/2016/07/27/geopolitik-turki-selepas-cubaan-kudeta/

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*