Derita Pelarian Syria Di Sempadan Jordan

JORDAN: Jalanan berdebu di kem pelarian paling baru di Jordan dipenuhi khemah kosong, di Kem Al-Azraq. Pelarian yang berada di sempadan negara itu tidak pernah berkurangan bahkan sentiasa bertambah untuk memenuhi khemah-khemah tersebut;

Demikian walaupun di sebalik kebimbangan kerajaan Jordan yang telah menerima mereka sejak 5 tahun lalu, terutamanya atas isu keselamatan hingga akhirnya menyebabkan pos sempadan negara itu yang terakhir ditutup. Selepas pengeboman kereta oleh pengebom berani mati di sempadan negara yang terletak di wilayah terpencil, Rukban, timur laut Jordan lewat Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan kawasan tersebut sebagai zon ketenteraan.

 

Zon yang menghalang akses walaupun kepada PBB serta agensi bantuan yang mahu memberikan bekalan makanan, air dan rawatan kesihatan kepada para pelarian. Menurut aktivis kemanusiaan, ramai bayi serta warga emas meninggal dunia di kem tersebut serta dikebumikan berhampiran jalan menuju Damsyik.

 

Pegawai bantuan memanggil kem pelarian sementara yang terletak di sempadan antara 3 buah negara; Jordan, Syria dan Iraq itu sebagai ‘The Berm’. Kebanyakan pelarian telah meredah padang pasir sejauh ratusan kilometer untuk melarikan diri dari pertempuran di Homs, Palmyra serta pinggir Damsyik dengan harapan kerajaan Jordan akan membenarkan mereka masuk; kebanyakannya adalah kanak-kanak.

 

Tiada tandas, elektrik mahupun saluran air di ‘The Berm’. Setiap keluarga mendirikan sendiri khemah buatan sendiri dari selimut dan tali untuk berlindung dari sinar matahari sementara menunggu. Para aktivis dan pegawai bantuan berkata sebahagian kanak-kanak serta warga emas meninggal dunia akibat kekurangan makanan, air dan rawatan kesihatan sejak Jordan menutup sempadan itu.

 

“Keseluruhan padang pasir ini tandus; yang ada hanya batu, pasir serta debu; persekitaran yang amat sukar untuk membina kehidupan,” ujar Pavlo Kolovos, yang menyelia program klinik bergerak ‘Doctors Without Borders’ (Doktor Tanpa Sempadan- MSF) di ‘The Berm’. Selepas satu rundingan yang sukar, kerajaan Jordan akhirnya membenarkan kontraktor UNICEF untuk menghantar bekalan air minuman yang minima ke satu kawasan berdekatan ‘The Berm’ sejak seminggu lalu.

 

Kawasan operasi agensi-agensi bantuan itu telah dikelilingi dengan kawat selepas satu serangan; malahan pihak berkuasa tentera masih belum lagi memberi laluan kepada bekalan makanan serta misi bantuan perubatan. Lebih dari itu, mereka juga masih tidak mengizinkan pelarian-pelarian yang cedera parah untuk dipindahkan ke Jordan samada dari Rukban mahupun di sempadan utara berhampiran Ramtha.

 

“Kami telah merekodkan 13 dokumen kes larangan akses, termasuk seorang kanak-kanak 10 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian kepala,” ujar Ketua MSF Jordan, Luis Eguiluz.

 

“Dia (kanak-kanak itu) mati semasa keluarganya cuba membawanya ke Damsyik.”

 

“Sudah lebih 3 minggu, tiada siapa yang dapat masuk ke Jordan,” kata Eguiluz lagi kepada Al-Jazeera.

 

“Mangsa peperangan yang tercedera yang datang kepada kami biasanya menjangkau 50 orang sebulan; walaupun selepas gencatan senjata. Mereka tiada tempat untuk dituju, justeru kami amat bimbang.”

 

Tujuh orang tentera Jordan maut dalam satu insiden pengeboman kereta oleh pengebom berani mati di sempadan Rukban bulan lalu. Ketua angkatan bersenjata Jordan berkata selepas serangan itu, kawalan keselamatan negara itu menjadi prioriti utama serta sempadan akan terus ditutup.

 

Menteri di kementerian informasi negara itu bagaimanapun telah menolak untuk mengulas mengenai seruan dari pelbagai kumpulan bantuan supaya membenarkan bantuan dihulurkan di Rukban. Pelarian Syria yang melarikan diri ke Jordan konflik bermula lima tahun lalu itu kebanyakan dari daerah Dar’a, yang bersebelahan dengan sempadan utara Jordan; ramai dalam kalangan mereka dari kabilah yang sama dengan warga Jordan.

 

Manakala pelarian yang membanjiri sempadan Rukban pula datang dari bandar-bandar yang lebih jauh seperti Homs, Palmyra serta pinggir Damsyik; sebahagian telah melarikan diri dari kawasan yang dikuasai ISIL. Sebelum kerajaan Jordan menutup pintu sempadannya lagi, negara itu telah menganggap para pelarian tersebut sebagai risiko keselamatan serta mengawal ketat jumlah pelarian yang dibenarkan masuk ke negara itu.

 

Perkara demikian adalah isu sensitif; malah UNHCR yang telah mendaftarkan 35,000 orang pelarian sebelum insiden pengeboman itu juga enggan mengulas mengenai keadaan yang semakin meruncing di sempadan itu. Kehidupan di ‘The Berm’ bahkan bertambah sulit dengan sekatan terhadap saluran bantuan.

 

“Ia semakin buruk. Tiada air, makanan mahupun ubat-ubatan. Khemah-khemah compang-camping akibat sinar matahari dan ribut pasir,” ujar seorang aktivis dari Palmyra, Ali Al-Tadmori, ketika dihubungi melalui panggilan telefon dari kem itu.

 

Tambahnya lagi, bayi yang baru lahir serta warga emas meninggal dunia akibat suhu panas 50 darjah celcius di situ. Harga makanan serta air di pasaran gelap pula telah melonjak melebihi kemampuan kebanyakan penghuni kem itu kebanyakan mereka telah menghabiskan wang mereka untuk sampai ke sempadan Syria. Menurut Eguiluz, roti dijual dengan harga $2, manakala setin air berharga 70 sen.

 

Kolovos berkata sebelum insiden pengeboman tersebut, klinik bergerak MSF di ‘The Berm’ telah mengenalpasti masalah kekurangan nutrisi serta merawat 250 orang pesakit sehari; dalam kalangan mereka adalah kanak-kanak yang amat kekurangan zat makanan. Tanpa akses kepada makanan serta minuman yang konsisten, “kanak-kanak yang kekurangan zat ini bakal diancam maut,” tambahnya lagi.

 

Di Kem Pelarian Al-Azraq, pelarian Syria dari sempadan Rukban ditempatkan di kawasan yang dikawalketat. Jordan telah membawa masuk 20,000 orang pelarian sejak 5 bulan lalu.

 

“Situasi di situ amat buruk; tiada air dan makanan- anda terpaksa membawa semuanya dari jauh,” ujar Selim, remaja yang mempunyai seorang sepupu yang sudah 6 bulan menanti di sempadan itu bersama suami serta anaknya berusia dua tahun.

 

Selim dan keluarganya berasal dari kawasan kejiranan Bayada di Homs yang telah musnah sama sekali.

 

“Pembunuhan berlaku di hadapan kami dan kami terpaksa melangkah mayat-mayat itu,” tambahnya lagi ketika menceritakan saat cuba melarikan diri dari bandar itu.

 

“Bangunan-bangunan telah dimusnahkan; jet pejuang MIG terbang di atas kami.”

 

“Ke mana mereka mahu pulang?” ujar Selim apabila ditanya mengapa mereka tidak pulang ke Syria serta meninggalkan ‘The Berm’.

 

Selain daripada merayu bantuan segera, organisasi kemanusiaan turut menyeru dunia agar membantu Jordan serta menyelesaikan masalah penempatan semula para pelarian.

 

“Mereka memerlukan bantuan; namun bantuan bukanlah satu penyelesaian,” kata Kolosov.

 

“Penyelesaian bukanlah dengan menempatkan pelarian di padang pasir yang tandus tanpa akses untuk memberikan perkhidmatan; masyarakat antarabangsa bertanggungjawab untuk memindahkan mereka ke tempat selamat.”

ETTIHAD

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*