Pembinaan kondominium mewah di depah SMKA Maahad Hamidiah, kerajaan negeri arah MPKJ, pemaju patuhi setiap syarat

BANGI : Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) serta pihak pemaju kondominium The Louvre di Sungai Ramal berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah agar mengikut setiap spesifikasi kerja ditetapkan.

 

Terdahulu penduduk sekitar Sungai Ramal serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut telah menyatakan bantahan terhadap pembinaan kondominium mewah 36 tingkat di hadapan sekolah itu.

 

 

Menurut laporan penduduk pembinaan kondominium itu mengancam keselamatan pelajar dan trafik serta keselesaan pengajian.

 

Projek kondomium yang dibangunkan pemaju Paris Dynasty Land Sdn. Bhd dikatakan telah melanggar banyak peraturan yang ditetapkan oleh MPKJ dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

 

Pihak PIBG juga telah membuat laporan rasmi kepada MPKJ, Polis serta menghantar bantahan kepada Menteri Besar Selangor, Dato Seri Azmin Ali, Dato Seri Zahid Hamidi dan juga Tan Sri Noh Omar.

 

Disebalik bantahan itu, projek yang telah mendapat arahan “Stop work” kini rancak berjalan.

 

 

Merahkuning cuba mendapatkan penjelasan isu ini daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bangi, Ustaz Mohd Shafie Ngah.

 

Menurut Ustaz Mohd Shafie segala aduan daripada pihak sekolah dan PIBG telah disampaikan kepada Kerajaan Negeri Selangor.

 

“Saya sendiri telah membawa Menteri Besar turun melawat lokasi pada dua bulan lepas. Setelah itu beliau berjanji untuk membawa pihak yang mengemukakan bantahan ke dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikan MB dan exco-exco kerajaan negeri turut hadir.

 

“Jadi jawatankuasa PIBG telah dibawa ke situ dan mereka telah membentangkan isi-isi bantahan mereka kepada Datuk Menteri Besar dan jabatan-jabatan kerajaan.

 

“Setakat ini arahan daripada mesyuarat tersebut adalah supaya pihak pemaju dan MPKJ memperbetulkan jika ada kesilapan dalam operasi yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan kerajaan,” kata Ustaz Mohd Shafie ketika dihubungi Merahkuning hari ini.

 

 

Beliau turut menasihati orang ramai agar bertenang kerana tidak ada gangguan secara langsung daripada projek itu kepada pihak sekolah.

 

“Kemajuan yang hadir di sekitar tidak dapat dielakkan kerana kita berada di kawasan bandar. Cuma kita minta pemaju agar mematuhi semuar arahan yang dikeluarkan kerajaan,” tambah beliau.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*