Jalan sempit halang lori sampah kutip di kawasan perumahan

Keadaan jalan yang terlalu sempit dan kadang-kadang sesak dengan kenderaan di kiri kanan beberapa kawasan sekitar Jalan Batu Caves menyukarkan kerja-kerja mengutip sampah oleh kontraktor yang dilantik Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

 

Tinjauan Merahkuning hari ini mendapati banyak sampah sarap ditinggalkan berlonggok di tepi jalan dan sekitar rumah dan kedai sebelum dipungut kontraktor yang dilantik.

 

Seorang penduduk menjelaskan, pihak kontraktor tidak lagi masuk ke beberapa kawasan akibat jalan sempit.

 

 

“Dah lama kontraktor tak masuk ke kawasan dalam kutip sampah. Jadi penduduk membuang sampah di kawasan luar sebelum dikutip pihak kontraktor.

 

“Jadi semua penduduk dalam kawasan ini akan buang sampah di sini. Di tempat lain pun sama,” katanya merujuk kepada satu kawasan berhampiran kedai cuci kereta yang dijadikan tempat melonggokkan sampah.

 

Sementara itu di beberapa kawasan kedai makan, sampah sarap masih dibuang di tempat yang disediakan dengan kekerapan kutipan sekitar tiga kali seminggu.

 

 

Namun seorang pengusaha restoran mengadu sikap penduduk yang turut membuang sampah di kawasan itu menyebabkan sampah sentiasa berlonggok.

 

“Penduduk sekitar sepatutnya membuang sampah di hadapan rumah masing-masing untuk dikutip kontraktor, tetapi mereka datang buang di sini juga.

 

“Kawasan ini jadi tercemar, longkang-longkang kotor dengan sampah sarap serta menarik haiwan seperti tikus dan burung gagak,” katanya kepada Merahkuning.

 

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, pihak MPS sentiasa memantau kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor.

 

 

“Kontraktor ada menyediakan tapak khusus bagi kawasan yang tidak dapat dimasuki lori sampah. Namun kadang sikap penduduk mereka buang di tempat lain juga.

 

“Selain itu terdapat isu yang melibatkan bidang kuasa pihak lain umpamanya tong sampah tidak boleh diletakkan di kawasan jalan kerana ia di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya.

 

Menurut Ustaz Hasbullah, isu sampah di kawasan tersebut memerlukan kerjasama semua pihak untuk mendidik dan memupuk kesedaran kepada masyarakat untuk membuang sampah di kawasan yang di tetap.

 

Tambah Hasbullah, peningkatan jumlah penduduk di kawasan itu turut membawa kepada peningkatan sampah domestik yang perlu dikutip oleh pihak kontraktor.

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*