987 peneroka terima sijil kelayakan perumahan

IJOK, 3 SEPT: Seramai 987 peneroka Rancangan Revolusi Hijau peringkat 2 dan 3 menerima sijil kelayakan perumahan di Eco Granduer.

 

Majlis yang bermakna itu dilaksanakan di Galeri EcoWorld di Eco Granduer yang disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

 

Mohamed Azmin dalam ucapannya melahirkan rasa gembira kerana dapat membantu peneroka memiliki rumah selepas 17 tahun menunggu.

 

“Selepas dua dekad, Kerajaan Negeri tampil membawa berita gembira ini.

 

“Hal ini membuktikan Kerajaan Negeri hari ini peduli rakyat dan mampu menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

 

Beliau berkata masalah terbabit bermula apabila pentadbiran kerajaan sebelum ini memberi kepercayaan kepada dua pemaju.

 

Bagaimanapun, kedua-dua pemaju terbabit gagal melaksanakan projek itu menyebabkan ia tertangguh lama.

 

“Projek terbengkalai ini menjadi rumit kerana peneroka membawa ke mahkamah.

 

“Saya juga mengarah Perbadanan Menteri Besar (MBI) untuk mengambil tindakan segera dan menarik balik tindakan undang-undang.

 

“Kerajaan Negeri tidak boleh bermusuh dengan rakyat tetapi mencari penyelesaian,” katanya.

 

Beliau berkata dengan semangat dan tempoh yang singkat pemaju hartanah Eco World berjaya membangunkan kawasan itu.

 

“Saya percaya kawasan ini dapat dibangunkan menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih bertenaga,” katanya.

 

Mohamed Azmin turut menasihatkan peneroka supaya tidak menjual aset rumah mereka yang diberi.

 

Seramai 987 peneroka itu menerima rumah teres dua tingkat yang berharga RM400,000 serta pampasan sebanyak RM44 juta.

 

Ia bakal dibina dengan kos RM246 juta di atas tanah seluas 80 ekar dikenali sebagai Laman Haris.

 

Hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Eco World, Datuk Chang Khim Wah, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shareen Raja Othman.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Afendi Aminuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Noorzaton Aini Mohamed Kassim.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*