Silent Killer : Ramai Rakyat Malaysia Mati Dibunuh Oleh Benda Ini

Kenapa ia dipanggil ‘silent killer’? Kerana ia berupaya mencabut nyawa manusia tanpa sebarang bunyi dan suara yang dapat didengar di telinga. Ia hanya menyerang masuk ke rongga hidung dan mulut mangsa seterusnya merosakkan organ-organ di dalam badan. Itulah yang dialami oleh sesiapa sahaja yang menghisapnya. Itulah ROKOK!

Pernahkah anda melihat penggemar rokok membaca Basmallah sebelum menikmatinya? Sudah tentu tidak pernah bukan? Cukuplah dengan itu sahaja untuk kita meletakkan perbuatan tersebut jauh menyimpang dari ajaran agama dek kerana malunya mereka untuk memulakan aktiviti itu dengan nama Allah. Bahkan ada yang bersembunyi di dalam tandas, belakang rumah dan luar pagar sekolah semata-mata ‘mencari maut’ tersebut.

 

Menurut Rektor UIAM, Prof Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin, statistik menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini satu peningkatan yang besar daripada 18 bilion batang pada 1998. Ia menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat gejala ini. Agak membimbangkan, sebilangan besar perokok dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah pada 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000.

 

Lebih menakutkan ialah gadis remaja juga ramai yang mula merokok. Malah ia didapati bertambah daripada satu kepada lapan peratus khususnya di bandar. Dianggarkan setiap hari 50 remaja memulakan tabiat ini. Antara punca utama kenapa berlaku sedemikian yang dapat dikesan ialah:

1 – Pengaruh rakan sebaya

2 – Pengaruh filem dan drama yang mempamerkan artis yang merokok

3 – Sikap berani mencuba yang tidak kena pada tempatnya

 

Apa Kata Islam Terhadap Merokok?

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud, “Dan jangan mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah 195:2) Ayat ini menunjukkan bahawa perlunya seseorang muslim menjaga dirinya dari sesuatu yang memberi kesan buruk kepada diri sendiri dan ini sudah tentulah termasuk merokok. Bahkan sebenarnya dengan merokok juga boleh mengganggu dan memberi kesan yang lebih teruk kepada orang lain daripada penghisapnya. Mengikut kajian sains, asap rokok yang dikeluarkan dari perokok lebih berbahaya dari asap yang dihisap olehnya dari rokok tersebut.

Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan juga telah memutuskan bahawa merokok ialah HARAM hukumnya. Justeru walaupun penguatkuasaan ke arahnya susah untuk dilaksanakan sekalipun, ia tetap tidak mengubah keputusan tersebut.


Tips Berhenti Merokok

Menurut Prof Dr Zaleha lagi, lebih 95 peratus perokok Muslim menyatakan mudah berhenti merokok pada bulan Ramadhan. Ini menunjukkan berpuasa dapat membantu mencegah ketagihan. Ia juga menunjukkan perlunya kesatuan sesama perokok untuk berhenti supaya tiada yang mempengaruhi untuk kembali merokok. Selain itu, sentiasalah menyibukkan diri dengan perkara kebaikan supaya tidak lagi teringat kepada rokok tersebut.

Sebagai akhirnya, katakan ‘Tak Nak’ kepada merokok!

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*