KAWALAN HARGA RUMAH : CARA SELANGOR SATU PENYELESAIAN.

Saya ingin merujuk kepada 2 kenyataan yang dibuat baru-baru ini tentang harga rumah di Malaysia. Pertama adalah oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bahawa Kerajaan Persekutuan hanya mengawal harga rumah berharga RM42,000 yang berkeluasan 600 kaki persegi.

Kedua adalah kenyataan Setiausaha Agung National Housebuyers Association (HBA), Chang Kim Loong, agar Kerajaan Persekutuan mengawal harga rumah sepertimana harga barang keperluan harian seperti gula, beras dan minyak masak.

 

Saya mencadangkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri mencontohi cara Selangor.

 

Polisi Rumah Selangorku yang berkuatkuasa sejak Januari 2013 mewajibkan para pemaju membina rumah mampu milik atau Rumah Selangorku.

 

Contohnya bagi pemaju yang membangunkan projek perumahan melebihi 10 ekar wajib membina 30 hingga 40 peratus rumah mampu milik.

 

Terdapat beberapa komponen iaitu yang berharga RM42,000, RM100,000, RM150,000, RM180,000, RM220,000 dan RM250,000.

 

Keluasannya adalah dari 700 kaki persegi sehingga 1,000 kaki persegi berdasarkan harga jualan.

 

Peratusan ini dan komponen pembangunan adalah tertakluk kepada lokasi projek dan kemampuan projek.

 

Walau bagaimanapun bagi pihak berkuasa tempatan di Lembah Kelang seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pemaju yang membangunkan projek melebihi 5 ekar wajib membina rumah mampu milik.

 

Walaupun kerajaan negeri tidak mengawal harga rumah secara langsung namun ia berusaha untuk memastikan terdapat stok perumahan di pasaran bagi golongan berpendapat rendah dan sederhana.

 

Sejak usaha ini dipergiatkan pada tahun 2015, lebih 20,000 unit rumah telah diluluskan untuk dibina oleh pemaju-pemaju.

 

Kerajaan negeri juga turut mengawal jualan rumah mampu milik ini. Para pemaju hanya boleh menjual kepada pembeli yang berdaftar dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS). Kelayakan membeli adalah berdasarkan pendapatan isi rumah bulanan.

 

Saya yakin polisi Rumah Selangorku ini dapat sedikit sebanyak menyelesaikan masalah harga rumah yang semakin tidak terkawal.

 

Kerajaan Persekutuan perlu memiliki “political will” untuk memastikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat pembelaan yang sewajarnya.

 

Dato’ Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
13 September 2016

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*