Setiap Hari Rakyat Malaysia Masuk Tandas, Tetapi…

Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan orang-orang yang menyucikan diri.” (Surah Al-Baqarah 222:2). Daripada ayat ini, kita dapat memahami bahawa selain orang yang bertaubat, Allah juga menyukai hambaNya yang sentiasa membersihkan diri. Bersih itu sudah tentu merangkumi tubuh badannya, tempat tinggalnya, akal fikirannya mahupun sifatnya sebagai seorang yang sukakan kebersihan.

 

Fokus kali ini ialah untuk berkongsi betapa pentingnya tandas menjadi salah satu tanggungjawab bersama untuk dijaga kebersihannya. Kerana apa? Kerana ia menjadi salah satu lambang kejujuran seseorang itu benar-benar seorang yang pembersih atau tidak. Benarkah? Jawapannya ya. Hal ini kerana melalui tandas, kita dapat mengetahui sama ada seseorang itu hanya pentingkan kebersihan dirinya sendiri sahaja atau tidak. Berikut senarai penyalahgunaan tandas yang pernah ditemui:

1 – Tidak membuang tisu/puntung rokok atau sampah ke dalam tong yang disediakan. Malah ada yang buang ke dalam mangkuk tandas lalu menyebabkan ia tersumbat.

2 – Buang air bukan di tempat salurannya yang betul.

3 – Tidak menarik flush selepas buang air.

4 – Menconteng dinding dan pintu tandas.

5 – Masuk dengan kasut/selipar yang kotor lalu melekat di lantai tandas dan tidak pula mahu bersihkannya.

 

Tandas Bersih Menjamin Kesihatan & Imej Yang Baik

 

Kita jangan terkejut bahawa tandas juga mempunyai hari sambutannya yang tersendiri iaitu Hari Tandas Sedunia yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tarikhnya ialah pada 19 November setiap tahun. Ia susulan cadangan dari wakil negara Singapura yang menegaskan bahawa 2.5 bilion orang di seluruh dunia tidak mempunyai kebersihan yang betul iaitu 1.1 bilion orang membuang air besar di tempat terbuka dan penyediaan tandas boleh menyelamatkan kehidupan lebih daripada 200,000 kanak-kanak setiap tahun.

 

 

Nah, oleh itu jangan sesekali kita memandang remeh tentang soal penjagaan kebersihan tandas kita baik di rumah mahupun di tempat awam seperti di stesen minyak, tempat rekreasi, perhentian pengangkutan awam, pusat membeli-belah, masjid dan sebagainya.

 

Perlu juga kita sedar bahawa imej bersih atau kotor sesuatu tempat itu dilihat orang melalui tandasnya. Sebagai contoh tetamu yang datang bertandang ke rumah kita atau pelancong yang mengunjungi tempat menarik yang ada dalam negara kita. Sekiranya mereka mendapati tandas yang mahu digunakan itu kotor, bayangkan bagaimanakah perasaan mereka? Boleh jadi, sakit perut mereka akan bertukar menjadi sakit hati!

 

Adab Menggunakan Tandas

 

Di sini dikongsikan adab-adab yang betul menggunakan tandas. Juga dicadangkan langkah-langkah untuk kita memastikan tandas sentiasa dalam keadaan bersih dan selesa digunakan:

1 – Buang kekotoran yang melekat di kasut/selipar/kaki sebelum masuk tandas.
2 – Baca doa sebelum dan selepas masuk tandas.
3 – Elakkan berbual-bual dan terlalu lama dalam tandas.
4 – Buang air di tempat yang betul dan gunakan sebaiknya kemudahan yang disediakan seperti flush, bakul sampah dan sinki.
5 – Bantu baiki dan cuci tandas semampu yang kita boleh. In Syaa Allah banyak pahala yang akan diperolehi oleh kita atas setiap orang yang menggunakan tandas itu selepas kita.
6 – Hiasi tandas dengan dekorasi yang menarik atau letak bunga-bungaan. Juga boleh sembur dengan pewangi untuk menghalang dari bau yang kurang menyenangkan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*