Penasihat Menteri Australia Letak Jawatan Berikutan Insiden Di Sepang

SYDNEY- AUSTRALIA. Penasihat dasar kanan kepada Menteri Pertahanan Australia, Jack Walker, 26, dilaporkan meletak jawatan menurut laman berita ABC Online.

 

Walker menyerahkan surat perletakan jawatannya sebagai Penasihat dasar kanan kepada Menteri Industri Pertahanan sejurus tiba di Australia.

 

Tindakan Walker itu adalah berikutan kejadian dia ditahan polis Malaysia bersama lapan warganegara Australia lain, kerana memakai seluar dalam bercorak JalurGemilang ketika menyaksikan perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia di litar Sepang, Ahad lepas.

 

Paparan video klip beberapa minit yang tersebar menunjukkan mereka bersorak dan meminum bir menggunakan kasut ketika memakai seluar dalam yang bercorakkan Jalur Gemilang.

 

Kesemua mereka telah didakwa mengikut seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan seksyen 14 kanun sama iaitu berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

 

Kesemua warga Australia berkenaan dibebaskan dengan amaran daripada hakim mahkamah agar tidak mengulangi perkara tersebut.

 

Mereka juga memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas tindakan memalukan mereka yang memakai seluar renang corak bendera Malaysia ketika menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) di Sepang itu.

 

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*