Kenyataan PM Mengenai Pengurusan Berhemah Sukar Dipercayai

 

Rakyat sukar mempercayai hujah Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak mengenai kerajaan akan mengurus kewangan negara secara bertanggungjawab dan berhemah meskipun sedap didengar.

 

 

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, negara diancam dengan ketirisan dan rasuah yang sistematik di bawah pemerintahan yang diterajui Umno.

 

Beliau mengulas demikian bagi menjawab kenyataan Najib semalam yang berkata kerajaan mahu menghulurkan sebanyak mungkin bantuan dan manfaat untuk rakyat dalam Bajet 2017 namun pada masa sama mengurus kewangan negara secara bertanggungjawab dan berhemah.

 

Tuan Ibrahim merujuk kepada kes tangkapan rasuah terbesar oleh SPRM minggu lepas antara faktor mengapa rakyat sukar mempercayai janji seperti itu.

 

“Rampasan RM114.5 juta oleh SPRM daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di sini, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah baru-baru ini yang disifatkan sebagai ikan kecil oleh pelbagai pihak adalah bukti kepada perkara ini.

 

“Bayangkan berapa banyak duit yang boleh dijumpai kalau mereka tergolong antara ikan-ikan jerung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan mengenai peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang meningkat dari RM13 bilion ke RM20 bilion dari tahun 2012 ke 2016, dan angka ini dijangka meningkat pada 2017.

 

Beliau turut menggesa bantuan dana untuk sektor pendidikan negara mesti ditambah baik kerana pendidikan merupakan asas kepada pembangunan rakyat dan negara.

 

“Jika PM serius mengenai perbelanjaan negara, selain perbelanjaan berhemah, perbelanjaan negara juga perlu tepat ke sektor yang menjana peluang pekerjaan seperti sektor tenaga bersih, infrastruktur, syarikat kecil dan terutamanya sektor pendidikan yang membina rakyat dan negara untuk jangka masa panjang, dan bukannya JPM.

 

Perdana Menteri dan pasukan PEMANDU sentiasa melaungkan negara akan menjadi negara sumber pendapatan tinggi di tahun-tahun. Jika itu ialah matlamat utama, maka sepatutnya pelaburan perlu difokuskan ke sektor pendidikan,” katanya.

 

 

 

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*