Kecoh Sijil Halal Auntie Anne’s

Baru-baru ini viral di laman sosial  beberapa kepingan foto yang menunjukkan perbualan seorang netizen dengan FB JAKIM mengesahkan restoran Auntie Anne’s tidak mempunyai sijil halal dari organisasi itu. 

 

Isu menjadi semakin kecoh apabila terdapat dakwaan sijil halal Auntie Anne’s tidak diberikan kerana menu mereka terdapat satu resepi yang dinamakan sebagai ‘pretzel dog’.

 

Menurut satu kenyataan JAKIM, Auntie Anne’s pernah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia sebelum ini namun ianya tidak dapat diproses atas beberapa isu teknikal seperti dokumen sokongan bahan ramuan.

 

Kenyataan tersebut menyatakan status produk makanan Auntie Anne’s kini dalam proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan telah memasuki fasa proses audit halal bagi Central Kitchen (CK).

 

Menjawab persolan itu pegawai Eksekutif Quality Assurance Auntie Anne’s, Farhatul Kamilah melalui laman Facebooknya berkata pihaknya telah menghantar permohonan bagi CK dan telah melepasi peringkat pertama serta sudah pun menjelaskan bayaran dan sedang menunggu proses audit JAKIM.

 

“Ingin saya tegaskan, Auntie Anne’s bukan pemegang sijil halal JAKIM tetapi kami sedang berusaha kearah itu. JAKIM mempunyai standard yang sangat tinggi yang harus diikuti oleh semua pemegang sijil halal JAKIM,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Farhatul turut mengingatkan umat Islam Malaysia agar menunggu pengesahan halal JAKIM sebelum membeli produk makanan syarikat itu.

 

“Bagi yang was-was tapi mahu juga mencuba pretzel Auntie Anne’s, saya cadangkan anda menunggu sehingga kami disahkan halal terlebih dahulu kerana perkara yang syubhah sudah jatuh haram untuk kita memakannya,” katanya.

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*