Presiden PAS Gesa Kerajaan Bendung Pelampau Media

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) mewujudkan satu kerjasama pemberitaan dengan negara-negara serantau bagi membendung trend “pelampau media”.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, isu itu dibincangkan Abdul Hadi ketika bertemu Menteri KKM, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di pejabatnya di Angkasapuri semalam.

 

Abdul Hadi menegaskan inisiatif itu adalah “untuk melawan pelampau media dengan pemberitaan palsu dan fitnah mereka yang berleluasa mutaakhir ini termasuklah mendepani keganasan media dan agensi berita asing dengan pemberitaan yang direka cipta untuk melunaskan agenda tersembunyi mereka,” jelas Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pertemuan itu turut menyentuh persoalan langkah-langkah membendung fitnah dan dakwaan palsu di media sosial yang mudah tersebar dikalangan orang ramai hingga mampu menggugat keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa.

 

“Ia menjadi tanggungjawab semua pihak dalam meneliti kesahihan dan kewajaran maklumat yang di muat naik ke dunia siber.

 

“Tuan Guru menegaskan betapa keganasan dan pelampau media ini sangat bahaya dan mampu menggugat keharmonian di antara rakyat dalam negara,” katanya.

 

Menurut Nasrudin lagi antara intipati lain pertemuan tersebut, ahli parlimen Marang itu yang juga merupakan Naib Ketua Kesatuan Ulama Antarabangsa turut menyatakan hasrat untuk terlibat bersama-sama pihak berkuasa dalam mencari jalan mengatasi isu penculikan di perairan Sabah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*