Kerjasama dengan parti lain keputusan Syura Ulama

KUALA LUMPUR- Hanya Majlis Syura Ulama akan memutuskan samada Pas akan berkolaborasi dengan parti lain atau tidak namun kekal dengan keputusan hanya akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai rekod baik dengan parti Islam itu.

Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata segala keputusan parti perlu mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama terlebih dahulu dan tiada individu boleh mendahului pendirian rasmi parti itu.

 

“Sebarang pergabungan dengan parti-parti lain perlu mendapat kebenaran dari Majlis Syura Ulama terlebih dulu,”, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

 

Mengenai kerjasama Pas dengan parti pembangkang lain, Nik Abduh mengesahkan pimpinan Pas sudah memulakan perbincangan dengan parti Bersatu yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

 

“Memang ada perbincangan dengan mereka (Bersatu), cuma ianya masih dalam proses perbincangan dan masih belum ada keputusan lagi,” katanya.

 

Selain itu, Nik Abduh turut menjelaskan Pas sudah pun bergabung dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) serta mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan dua parti komponen Pakatan Harapan kerana pernah mengkhianati Pas sebelum ini.

 
“Kita sudah sebut dua (tiada rundingan), Dap dan Pan.

 
“Kita boleh berunding dengan yang lain seperti Bersatu, PKR dan parti-parti di Sabah dan Sarawak,” katanya. 
 
Dalam masa sama, ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menegaskan hubungan kerjasama dengan kerajaan Pusat adalah hanya perkara berkaitan pengurusan kerajaan negeri.
 
“Kita sudah jelaskan, hubungan dengan BN adalah hubungan diantara kerajaan pusat dengan negeri seperti semua negeri lain dan kita akan bersetuju dalam perkara-perkara yang baik seperti yang dah dibuat sebelum ini,” katanya. 
 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*