Splash: Pemuda Pas Selangor tuntut penjelasan ekuiti tambahan RM2.4 bilion

SHAH ALAM- Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPS) hari ini menyatakan kebimbangan ekoran penambahan kos pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) yang meningkat 10 kali ganda dari tawaran asal. 

Menurut Pengarah Jabatan Penerangan DPPS, Ahmad Hakimi Othman berkata, pihaknya ingin maklumat lebih lanjut berkaitan kesan tarif air Selangor sekiranya konflik pertindihan kos tambahan sebanyak RM2.45 bilion tidak selesai.

 
Terdahulu, cadangan pengambilan Splash berjumlah RM2.7 billion oleh kerajaan negeri menimbulkan persoalan kerana jumlah tersebut melebihi 10 kali ganda berbanding tawaran asal yang hanya berjumlah RM250.6 juta.
 

Berikutan perkara itu, DPPS menuntut tiga penjelasan tuntas daripada kerajaan negeri iaitu, pakej RM12.1 billion untuk empat syarikat konsesi air, penambahan kos pengambilan ekuiti Splash, dan kemungkinan campurtangan kerajaan persekutuan.
 
“Pengumuman baru-baru ini tentang cadangan pengambilan 2.7 bilion ekuiti Splash menimbulkan persoalan kerana ia akan meningkatkan kos ambil alih dari RM9.65 billion kepada RM12.1 billion (untuk empat syarikat konsesi air termasuk Splash),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Sehubungan itu, DPPS turut meminta penjelasan tentang sumber yang akan digunakan bagi membayar ekuiti tambahan berjumlah RM2.45 billion.
  

“Apakah kerajaan Selangor akan menggali khazanah perbendaharaan Selangor sebanyak RM2.45 bilion?
 
“Apakah alternatif lain untuk mendapatkan 2.45bilion? 
 
Adakah perlu soft loan dari kerajaan perseketuan? soal beliau. 

 
Isu bekalan air bersih menjadi perbualan hangat ekoran persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS) yang sering membangkitkan permasalahan berkenaan.
 
“Ia menimbulkan pertanyaan dan kerungsingan di kalangan rakyat. 
 
“Apatah lagi sepanjang tahun ini berlaku dua kali dan lebih tentang masalah pembekalan air bersih,” katanya.
 
Sebelum ini, bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan pentadbirannya sebelum ini telah meluluskan kos tambahan bagi pengambil alihan Splash sebanyak RM2.7 bilion.
 
Kenyataan itu dijawab Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali yang menyatakan tawaran RM2.975 bilion kepada Splash telah dibuat oleh pentadbiran Khalid sejak 25 Jun 2009 tanpa bekas menteri besar itu memaklumkan perkara tersebut kepada DNS.
 
“Pentadbiran sebelum ini menyatakan nilai tawaran pengambilalihan Splash adalah sebanyak RM250 juta dan inilah angka yang diuar-uarkan seantero dunia, namun orang yang sama tidak pernah memaklumkan kepada Dewan berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada Splash melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya 19 Julai 2009,” kata Azmin.
 
Menurut Azmin lagi, Kerajaan Persekutuan melalui surat bertarikh 7 Oktober lalu telah meminta rundingan pengambilalihan Splash agar dilanjutkan enam bulan lagi.
 
“Kerajaan Negeri ambil tindakan sama setahun lalu dan lebih awal melantik penilai bebas bagi menentukan harga yang sewajarnya dibayar.
 
“Sekarang disebabkan Kerajaan Persekutuan juga melantik penilai bebas, kita mendukung usaha itu kerana ia telus dan terbuka untuk semua pihak bersetuju dengan satu angka,” katanya semalam. 
 
Dalam perkembangan sama, DNS pada Selasa menolak usul menggesa isu pengambilalihan Splash untuk dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, dan Ketelusan (SELCAT).

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*