PAS ada pegangan sendiri

PETALING JAYA- Pengalaman PAS yang telah beberapa kali bergabung dengan parti lain lebih mematangkan parti Islam itu.
 
Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Hashim Jasin berkata PAS mempunyai pegangan yang tersendiri dalam menentang BN walaupun memilih untuk tidak menyertai Pakatan Harapan (PH).
 
Beliau turut menemplak kenyataan Tun Mahathir yang disiar media baru-baru ini mendakwa Pas telah diberi ‘dedak’ oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak.
 
“PAS ada pegangan sendiri. Tak semestinya kita dengar cakap Tun Mahathir.
 
“Walaupun Pas tidak menyertai PH, tak bermakna kita menyokong Najib. Kita lihat pada pilihanraya akan datang,” katanya ketika sidang media sejurus himpunan LASAK semalam. 
 
Beliau turut menekankan ajaran Islam yang menuntut perbincangan dengan semua pihak termasuk musuh.
 
“Walaupun dia musuh tapi agama tidak larang utk berbincang, kita terbuka dan bersedia mendengar,” katanya lagi.
 
Isu kerjasama PAS dengan parti lain masih menjadi pertanyaan media ekoran beberapa pimpinan PH sebelum ini turut merujuk kerjasama dengan parti Islam itu dalam nada berbeza.
 
Menurut Naib Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, partinya dan PAS memerlukan masa bagi mencapai kata sepakat sekurang-kurangnya enam bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 nanti bagi memantapkan jentera parti.
 
“Kami perlu mencapai kata sepakat sebelum pilihanraya, sekurang-kurangnya enam bulan sebelum PRU bagi membolehkan jentera kami bersiap sedia memberi penerangan kepada para pengundi.
 
“Kami perlukan masa,” ujarnya kepada pemberita di Konvensyen PH pada Sabtu.

 
Dalam perkembangan sama, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata dakwaan PAS akan bergabung dengan Umno tidak masuk akal berikutan tindakan parti pemerintah itu yang mengekang perjuangan PAS.
 
“Kita pernah menyertai BN tapi sering ditipu.
 
“Bahkan, ahli-ahli PAS mati dibunuh ketika peristiwa Memali.
 
“Sebelum ini ramai ahli dan pemimpin PAS ditangkap dan dimasukkan ke ISA seperti Presiden PAS ketiga, Datuk Burhanudin Al-Helmy,” katanya.
 
Iskadar turut membidas kenyataan Tun Mahathir tersebut dengan mengatakan adalah tidak wajar mengaitkan partinya dengan Umno kerana PAS parti politik yang paling terkesan dengan kezaliman Umno berbanding parti-parti pembangkang lain. 
 
“Menuduh PAS akan masuk Umno adalah tak masuk akal sebab kita adalah parti yang paling mendapat kesan berat akibat tindakan Umno-BN berbanding DAP, PKR,” katanya, semalam.
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*