Jabatan Amal tidak terlibat Bersih 5

SHAH ALAM- Jabatan Amal Malaysia memaklumkan tidak akan mengerahkan anggotanya untuk bertugas atau menyertai perhimpunan Bersih 5.0 yang akan diadakan Sabtu ini.  

Ketua Pengarah Jabatan Amal, Mohd Nazree Aris turut memberi amaran keras sekiranya terdapat pihak atau individu yang cuba melakukan provokasi dengan menyamar sebagai anggota Unit Amal .  

 
“Kami memberi amaran sekiranya terdapat mana-mana individu yang memakai mana-mana pakaian seragam Jabatan Amal Malaysia, atau apa-apa juga bentuk pakaian yang mempunyai lambang Jabatan Amal serta divisyen dibawahnya pada himpunan BERSIH 5, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu tersebut.  
 
“Kami tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerugian, kerosakan dan kecederaan yang diakibatkan daripada tindakan individu yang menyamar sebagai anggota Jabatan Amal Malaysia semasa perhimpunan Bersih 5,” katanya dalam satu kenyataan.  
 
Jabatan Amal terlibat dengan perhimpunan Bersih sejak ia mula dianjurkan pada 2007 sehingga Bersih 3, namun tidak lagi menyertai perhimpunan itu sejak Bersih 4 yang diadakan tahun lalu.   
 
Perhimpunan Bersih 5.0 dijangka diadakan di Dataran Merdeka yang melibatkan perarakan peserta perhimpunan di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Jalan Masjid India, Sabtu ini.  

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*