Suu Kyi membisu, tentera ratah Rohingya

Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dinobatkan sebagai pejuang keamanan termasuk penerima Hadiah Nobel disifatkan sebagai tidak layak memakai gelaran tersebut. 

Suu Kyi yang merupakan ketua defacto Myanmar dikritik teruk oleh pihak antarabangsa kerana kerajaannya gagal melindungi etnik Rohingya yang kini dibunuh dan diusir oleh pihak tentera dan penganut Buddha ekstrem. 

 
Pihak pemerhati antarabangsa merekodkan pencabulan hak serta diskriminasi terhadap Rohingya berlaku secara sistematik termasuk dihalang mendaftar perkahwinan, tiada pekerjaan, tidak mendapat peluang pendidikan dan kebebasan bergerak yang terhad. 
 
Ketegangan di antara penganut Buddha dan Rohingya semakin meruncing sejak 2012 yang menyebabkan ratusan ribu orang Rohingya terpaksa melarikan diri ke negara-negara lain termasuk Malaysia.
 
Keganasan semakin dasyat apabila tokoh sami Buddha Burma, Ashin Wirathu yang mengepalai gerakan anti-Islam di negara itu membakar semangat kebencian terhadap Rohingya dengan menggalakkan penganut Buddha bertindak ke atas etnik minoriti itu.
 
“Walaupun kita boleh dipenuhi dengan cinta serta budi yang baik, tetapi kita tidak boleh tidur bersama ‘anjing gila’ (Rohingya).
 
“Sekiranya kita lemah, negara ini akan menjadi tanah orang Islam,” kata Wirathu yang pernah digelar sebagai “wajah pengganas penganut Buddha” oleh majalah TIME.
 
Namun Suu Kyi yang mengetuai parti pemerintah National League for Democracy (NLD) sejak November tahun lalu hanya berdiam diri dan tidak pernah mengkritik Wirathu bahkan turut menafikan salah guna kuasa oleh tentera.
 
Agensi berita CNN menyatakan isu Rohingya mendedahkan bidang kuasa Suu Kyi sebenarnya sangat terhad dan negara itu masih dikawal oleh junta tentera yang sebelum ini mengusai negara itu selama lebih dua dekad. 
 
“Di bawah Perlembagaan yang dirangka junta tentera sebelum ini, tentera berhak mengekalkan 25% kerusi Parlimen dan berkuasa atas kawalan keselamatan negara,” lapor CNN pada Jumaat.
 
Menurut laporan CNBC, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) menggesa kerajaan pimpinan Suu Kyi itu supaya membenarkan bantuan perubatan dan media bebas masuk ke kawasan Rakhine yang kini ditutup pihak tentera. 
 
HRW turut melaporkan sejak ketegangan bermula sebulan lalu, 130 orang telah terbunuh dan 30,000 hilang tempat tinggal apabila dihalau dan kediaman mereka dibakar pihak tentera.
 
Lebih kurang 1.1 juta penduduk daerah Rakhine merupakan masyarakat Rohingya Muslim yang merupakan etnik minoriti di Myanmar. Menurut Council of Foreign Relation (CFR) etnik Rohingya sebenarnya telah menduduki negara itu sejak kurun ke-15, namun masih dianggap rakyat kelas kedua dan tidak layak mengundi. 
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*