Gagasan sokong akta sumbangan politik

KUALA LUMPUR- PAS dan parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) melalui Gagasan Sejahtera (Gagasan) menyatakan sokongan terhadap cadangan kerajaan untuk menggubal satu akta baru, Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik mengenai aliran dana politik.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS dan parti Ikatan bersedia menyokong usul yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan pada September lalu bagi membendung amalan politik wang di kalangan pertubuhan politik dalam negara.

 

“Gagasan melihat usaha kerajaan ini merupakan satu langkah penyelesaian akar umbi yang penting untuk membasmi amalam politik wang dan budaya rasuah yang sudah menjadi barah yang sangat serius kepada negara.

 

“Gagasan mendesak penggubalan akta tersebut dan kelulusannya di Parlimen dicapai sebolehnya di sesi Parlimen pada awal tahun hadapan,” katanya kepada sidang media di Pejabat Agung PAS, hari ini. 

 

Menurutnya lagi, Gagasan pada Julai telahpun menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak mengenai amalan tersebut dan telah menyediakan memorandum mencadangkan beberapa langkah dalam usaha membasmi amalan politik wang itu. 

 

“Kami ingin mencadangkan supaya membenarkan parti politik menubuhkan syarikat bagi membiayai kegiatan politik secara telus.

 

“Selain itu, kami menyarankan supaya kerajaan memberi geran tahunan kepada pari-parti politik dalam melaksanakan kegiatan mereka dalam masyarakat,” katanya lagi.

 

Walaubagaimanapun, Gagasan turut menyatakan bantahan terhadap beberapa cadangan yang diusulkan dalam akta berkenaan.

 

“Antara cadangan yang dibantah ialah had terhadap perbelanjaan politik dan juga had untuk menerima sumbangan politik atau penerimaan sumbangan dari pihak berkenaan.

 

“Sekiranya cadangan tersebut diterima, ia akan memberi kelebihan kepada parti yang mempunyai lebih banyak wang,” katanya. 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*