RUU 355: Kenyataan Tiong disambut baik

SHAH ALAM- PAS menyambut baik kenyataan Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Dato’ Seri Tiong King Sing yang menyokong usul persendirian pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 Mahkamah Syariah.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, keputusan SPDP itu adalah tindakan yang rasional kerana memberi ruang kepada Muslim mengamalkan hak beragama mereka menurut lunas perlembagaan.

 
“Saya mengalu-alukan pendirian Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing yang juga merupakan Ahli Parlimen Bintulu berhubung RUU 355. 
 
“Ia merupakan pendirian yang sangat rasional dan berfakta tanpa emosi daripada seorang pemimpin politik bukan Islam,” menurutnya dalam satu kenyataan media, hari ini. 
 
Tiong ketika dihubungi Sin Chew Daily minggu lalu turut berkata, empat ahli Parlimen SPDP tidak akan membantah pindaan berkenaan kerana ia adalah hak orang Islam.
 
“Kenapa kami mahu campur tangan, kami bukannya tahu sangat tentang agama orang Islam,” katanya. 
 
Sementara itu, beberapa pemimpin BN turut dilihat telah menukar nada bantahan mereka terhadap RUU 355 selepas menyatakan bantahan sebelum ini.
 
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang sebelum ini mengarahkan semua Adun BN negeri itu agar menentang RUU itu telah menarik balik arahannya selepas diberi taklimat oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi.
 
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut menukar nada bantahannya apabila tidak lagi mengaitkan RUU 355 dengan hukum hudud walaupun masih enggan menyatakan sokongan.
 
“Kami tidak boleh menyokong usul ini kerana ia adalah private member’s bill, sekiranya ia dibawa kerajaan barulah kami boleh sokong,” katanya kepada media pada Khamis lalu. 
 
 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*