Jelaskan tujuan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke Myanmar – Iskandar Abdul Samad

SHAH ALAM- Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Iskandar Abdul Samad mendesak Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Abdul Razak menjelaskan tujuan lawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ke Myanmar disebalik kelantangan beliau menyuarakan nasib masyarakat Rohingya di negara itu.

Menurut laporan Akhbar Myanmar Times, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin kini berada di Myanmar untuk memulihkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara Asean ekorang ketegangan yang timbul berkaitan keganasan kerajaan Myanmar terhadapan warga Rohingya di wilayah Rakhine.

 

“Ini amat bertentangan dengan sikap tegas beliau pada sebuah himpunan di Kuala Lumpur Ahad lepas,” kata Dato Iskandar melalui laman sosial Facebook beliau.

 

Tambah Iskandar sikap yang ditunjukkan Malaysia tidak memberi sebaran tekanan kepada pemerintah Myanmar untuk menghentikan pembunuhan dan kezaliman ke atas wilayah bergolak itu.

 

“Negara tidak kelihatan serius memperjuangkan nasib masyarakat Islam itu. Kecuali kehadiran Panglima Angkatan Tentera adalah untuk memberi amaran kepada pemerintah negara itu,” katanya.

 

Walaubagaimanapun, Iskandar bersetuju dengan himpunan yang diadakan pada Ahad lalu kerana ia berasaskan semangat persaudaraan sesama ummah.

 

“Himpunan hari Ahad penting untuk menunjukkan kepada dunia sokongan kita terhadap masyarakat Rohingya. Matlamat telah tercapai. Hanya sikap Umno yang kita pertikaikan.

 

“Hasrat rakyat Malaysia jelas. Umno yang patut dihukum bukan peserta himpunan yang lain,” ujar beliau. 

 

Pada Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya, Najib dengan tegas mengkritik pemenang anugerah Nobel Keamanan dari Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana terus berdiam dalam isu tersebut.

 

Rentetan perhimpunan itu, puluhan sami telah mengadakan tunjuk perasaan di luar kedutaan Malaysia di Myanmar bagi membidas keputusan Najib kerana didakwa cuba campur tangan dalam hal ehwal negara itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*