PAS Selangor lancarkan roadshow penerangan belanjawan kerajaan negeri

SHAH ALAM- Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor telah memulakan ‘roadshow’ ke setiap kawasan Parlimen di negeri ini untuk menerangkan peruntukan Belanjawan Negeri Selangor bagi tahun 2017 kepada rakyat negeri ini.
 
Tujuan roadshow itu adalah untuk memastikan pimpinan dan ahli PAS di peringkat akar umbi dapat memahami intipati belanjawan terutamanya berkaitan manfaat-manfaat yang boleh diperolehi rakyat Selangor.
 
Roadshow telah bermula pada 7 Oktober lepas di tiga kawasan iaitu Ampang, Selayang dan Hulu Selangor.
 
Majlis penerangan di setiap kawasan Parlimen diberi taklimat oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Adun dari PAS yang diketuai Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad.
 
Exco dan Ahli Dewan Negeri telah dipilih untuk memberi penerangan kerana mereka terlibat secara langsung di dalam perbahasan Sidang Dewan yang melibatkan belanjawan tersebut.
 
Belanjawan 2017 yang dibentangkan di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 30 Oktober lepas oleh Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memperkenalkan banyak program-program baru untuk pembangunan dan kebajikan rakyat.
 
Menurut Iskandar, kerajaan negeri turut memperkenalkan “skim peduli sihat” mulai tahun depan bagi keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah melalui peruntukan RM125 juta.
 
“Skim peduli sihat di mana 250,000 keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah akan mendapat rawatan kesihatan primer (primary care) percuma di klinik-klinik swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri. 
 
“Seramai 1 juta rakyat Selangor akan mendapat manfaat dari skim yang diperuntukan RM125 juta itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 
 
Kerajaan negeri juga akan membelanjakan RM100 juta bagi membeli Rumah Selangorku yang akan disewakan kepada rakyat yang gagal mendapat pembiayaan untuk membeli rumah atau belum lagi berminat untuk membeli rumah. 
 
“Di dalam skim yang dinamakan ‘Smart Sewa’, 30 peratus dari sewa yang dibayar akan dipulangkan setelah kontrak sewaan tamat. Sewa yang dipulangkan boleh digunakan oleh penyewa untuk membeli rumah sendiri.
 
“Secara keseluruhannya sebanyak RM3.45 bilion telah diperuntukan dalam belanjawan 2017 dengan peruntukan pembangunan sebanyak 52.2 peratus dan peruntukan mengurus sebanyak 47.8 peratus,” tambah beliau.
 
Iskandar berkata roadshow berkenaan adalah usaha PAS Selangor dalam memastikan rakyat negeri ini tidak ketinggalan mendapat maklumat yang sepatutnya dan dijangka berakhir pada bulan Januari tahun hadapan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*